ORANG ramai menyaksikan majlis Penutup SUKMA Perak 2018 di Stadium Perak. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
ORANG ramai menyaksikan majlis Penutup SUKMA Perak 2018 di Stadium Perak. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
Shamsul Kamal Amarudin dan Zahratulhayat Mat Ariff


OBOR temasya sukan berprestij negara, Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018 yang marak menyala di persada Stadium Perak sejak 11 hari lalu dipadamkan malam tadi, menandakan tirai kejohanan itu dilabuhkan secara rasmi.

Pemadaman obor itu dilakukan diikuti persembahan bunga api dilakukan sejurus selepas penurunan bendera kejohanan diringi tiupan `Paluan Akhir' yang lebih dikenali sebagai Last Post, mengakhiri kenangan suka duka dan pahit manis kira-kira 11,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen yang berkampung di negeri ini sepanjang tempoh berkenaan.

Penutupan rasmi kejohanan yang menawarkan 427 pingat emas membabitkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak, disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Dr Wan Azizah turut menyampaikan anugerah atlet terbaik kategori lelaki iaitu pemanah dari Sabah, Eugenius Lo Fah Soon; atlet wanita terbaik iaitu ratu pecut dari Terengganu, Azreen Nabila Alias serta juara keseluruhan SUKMA Perak 2018 yang dimenangi Terengganu.

Majlis penutupan rasmi kejohanan itu dimulakan dengan perbarisan lintas hormat kontinjen negeri-negeri membabitkan 1,539 atlet.

Sebaik penyerahan bendera kejohanan dan obor diserahkan kepada Johor selaku tuan rumah edisi ke-20 pada tahun 2020, acara persembahan penutup secara gilang-gemilang dipersembahkan.

Ia termasuk persembahan artis popular tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Awie diikuti persembahan kebudayaan negeri Perak dan pertunjukan bunga api.

Kejohanan kali ini menyaksikan Terengganu mengungguli kejohanan dengan menggondol 56 emas diikuti Wilayah Persekutuan (52 emas), Selangor (47 emas), Sarawak (42 emas) dan tuan rumah, Perak, di kedudukan kelima dengan 37 emas.

Ini kali kedua Perak menjadi tuan rumah dalam sejarah penganjuran SUKMA selepas kali pertama menganjurkannya 24 tahun lalu iaitu pada 1994.

Hujan sejak petang nyata tidak melemahkan kira-kira 25,000 penonton untuk hadir menyaksikan majlis perasmian penutupan itu. Terdahulu prapersembahan seawal jam 5 petang membabitkan persembahan akrobatik oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), simfoni perpaduan yang mempamerkan persembahan gendang daripada pelbagai kaum serta persembahan kumpulan kesenian serta beberapa artis popular lain turut diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 8:55 PM