PEMAIN Monaco, Radamel Falcao meledak gol penyamaan pada aksi menentang Nimes. FOTO Reuters
PEMAIN Monaco, Radamel Falcao meledak gol penyamaan pada aksi menentang Nimes. FOTO Reuters
Reuters

MONACO: Penyerang Colombia, Radamel Falcao meledak gol jarak jauh menarik, tetapi turut melepaskan deretan peluang yang menyaksikan permulaan buruk Monaco berterusan apabila diikat Nimes 1-1 di gelanggang sendiri, awal pagi tadi.

Keputusan seri itu menyaksikan Monaco, yang juga naib juara Ligue 1, Perancis musim lalu menghuni tangga ke-12 liga selepas hanya mengumpul enam mata.

Nimes pula di tangga ketujuh apabila mengutip lapan mata, termasuk satu mata yang diperoleh daripada pertembungan dianggap mengujakan dengan Monaco.

Pertahanan tengah, Anthony Briancon meletakkan pelawat di depan pada minit ke-19, menerusi tandukan padu dari jarak enam meter berpunca sepakan percuma Antonin Bobichon.

Begitupun, Falcao pantas menyamakan kedudukan lapan minit kemudian, menerusi gol menarik dari jarak 25 meter selepas bijak memperdaya pertahanan lawan. 

Pada penghujung babak pertama, Falcao berpeluang menambah gol apabila penjaga gol Nimes, Paul Bernardoni melakukan kesilapan, tetapi gagal dan rembatan rendahnya pada minit ke-53 hanya menggegar tiang.

Briancon hampir meledak gol keduanya juga menerusi tandukan pada penghujung babak kedua sebelum Nimes dipaksa bertahan, tetapi ia gagal dimanfaatkan Monaco yang melepaskan deretan peluang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 7:52 AM