FALCAO bantu Monaco benam Nantes. FOTO/REUTERS
FALCAO bantu Monaco benam Nantes. FOTO/REUTERS
Reuters

MONACO: Pemain gantian separuh masa kedua, Radamel Falcao meledak satu gol dan mencipta satu peluang untuk membantu naib juara musim lalu, AS Monaco mengatasi Nantes 3-1 bagi memulakan kempen baru Ligue 1 dengan kemenangan.

Falcao diturunkan pada minit ke-67 di Stade de La Beaujoire dan membantu skuad kendalian Leonardo Jardim menyinar apabila mereka meledak tiga gol dalam tempoh 14 minit.

Penyerang tengah Rony Lopes membuka jaringan apabila menanduk bola sepakan penjuru mengatasi penjaga gol Nantes, Ciprian Tatarusanu pada minit ke-69. Sentuhan bijak Falcao kemudian membantu penyerang Stevan Jovetic menggandakan jaringan ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Pemain Colombia berkenaan turut memastikan jaringan apabila memanfaatkan hantaran Samuel Grandsir pada minit ke-82. Pemain gantian Nantes, Emiliano Sala mengurangkan defisit gol menerusi jaringan pada masa kecederaan.

Pasukan baru Ligue 1, Nimes Olympique memastikan kehadiran semula selepas 25 tahun dengan kemenangan 4-3 mengatasi Angers. 

Penyerang Nimes meledak dua jaringan dengan Sada Thioub dan Renaud Ripart turut meledak jaringan untuk menafikan jaringan Pierrick Capelle, Angelo Fulgini dan Ismael Traore.

Bekas pemain Perancis dan Arsenal,  Patrick Vieira memulakan kariernya di Nice dengan kekalahan 1-0 kepada Stade Reims. Mereka gagal mencari gol penyamaan yang dijaringkan pemain sayap dari Mali, Moussa Doumbia pada minit ketiga.

Jaringan lewat perlawanan penyerang Perancis, Lois Diony pula membantu St Etienne melakar kemenangan 2-1 mengatasi Guingamp. Wahbi Khazri memberikan juara 10 kali Ligue 1 berkenaan jaringan pendahuluan pada minit ke-45 sebelum Guingamp menyamakan kedudukan menerusi Marcus Thuram, anak kepada bekas pertahanan Perancis, Lilian Thuram.

Lille mengatasi Stade Rennais 3-1 manakala Dijon turut melakar kemenangan 2-1 mengatasi Montpellier.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 8:47 AM