Pemain tengah Lille, Boubakary Soumare (kiri) diasak oleh pertahanan Nimes, Gaetan Paquiez pada aksi Ligue 1. FOTO AFP.
Pemain tengah Lille, Boubakary Soumare (kiri) diasak oleh pertahanan Nimes, Gaetan Paquiez pada aksi Ligue 1. FOTO AFP.
AFP

LILLE semakin hampir kembali bersaingan dalam kelompok Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2012 tatkala pasukan kendalian Christophe Galtier itu beraksi cemerlang pada separuh masa kedua membelasah Nimes, 5-0, awal pagi ini.

Lima pemain berbeza menjaringkan gol selepas waktu rehat permainan bersambung membolehkan Lille menjarakkan kedudukan enam mata daripada pasukan di tangga ketiga Lyon, yang akan ditentang bagi saingan Ligue 1 minggu depan.

Dua pasukan teratas kelab Perancis layak secara automatik untuk Liga Juara-Juara.

“Kami berbeza dua mata setiap perlawanan,” kata Galtier. “Kami mempunyai musim yang menakjubkan, kami harus berusaha lebih keras dengan menampilkan aksi terbaik berdepan Lyon Ahad depan.”

Bekas penyerang Chelsea, Loic Remy memecah kebuntuan jaringan enam minit selepas separuh masa kedua bermula di Stade Pierre-Mauroy. Jonathan Bamba menambah jaringan menerusi tandukan menarik 13 minit kemudian.

Pemain pertahanan Turki, Zeki Celik menjaringkan lambungan cantik selepas aksi 20 minit dan Nicolas Pepe menolak masuk gol ke-20 jaringannya dalam aksi Ligue 1 musim ini 10 minit kemudian.

Pemain gantian, Rui Fonte memastikan jaringan kelima pada masa kecederaan seterusnya meletakkan Lille pasukan pilihan untuk beraksi di saingan Eropah itu.

Dalam pada itu, pasukan di tangga keempat Saint-Etienne terus memberi tekanan kepada Lyon dalam persaingan slot pusingan kelayakan Liga Juara-Juara ketika dua jaringan awal Robert Beric memastikan kemenangan pasukan itu ke atas Toulouse, 2-0.

Manakala di tempat kelima Marseille dengan lima mata di belakang Saint-Etienne.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 9:28 AM