JEROME BOATENG
JEROME BOATENG
AFP

BERLIN: Pertahanan Jerman, Jerome Boateng mahu mengadakan perbincangan dengan bos Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge dan Uli Hoeness selepas kegagalan perpindahannya ke Paris Saint-Germain.

“Saya rasa kami patut berbincang sekali lagi pada masa depan - itu yang perlu kami lakukan - adalah penting buat saya untuk menjelaskan sekali lagi bahawa saya fokus terhadap FC Bayern,” kata Boateng kepada akhbar berpangkalan di Munich, Sueddeutsche Zeitung.

“Dan satu lagi, adalah tidak bagus apabila perkara dikatakan mengenai saya di mana-mana dan anda tidak mendapat sokongan daripada kelab.”

Pada penamat musim, Rummenigge dan Hoeness berkata Boateng boleh meninggalkan kelab itu dengan harga yang sesuai.

Pertahanan tengah itu tidak gembira apabila pengerusi Bayern, Rummenigge mencetuskan khabar angin mengenai kemungkinan perpindahan ke PSG sebelum Piala Dunia, ketika Jerman tersingkir pada peringkat kumpulan.

Pertahanan itu mengakui perpindahan ke Paris adalah “pilihan konkrit” dan perbincangan juga dilakukan dengan ketua jurulatih PSG, Thomas Tuchel mengenainya namun perjanjian itu tidak menjadi kerana jumlah dipinta Bayern buat Boateng yang dinilai sekitar 45 juta euro (RM217.73 juta).

Sebaliknya PSG bulan lalu menandatangani pertahanan tengah pemain bawah 21 tahun Jerman, Thilo Kehrer dari Schalke dengan nilai dilaporkan 37 juta euro (RM179.02 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 8:09 PM