SANE (kiri) dan Suele (dua dari kiri) bakal diuji dari segi prestasi selepas berehat panjang akibat kecederaan. FOTO AFP
SANE (kiri) dan Suele (dua dari kiri) bakal diuji dari segi prestasi selepas berehat panjang akibat kecederaan. FOTO AFP
AFP

JERMAN akan melayan kunjungan Sepanyol dalam aksi pembukaan Liga Negara-Negara Eropah Jumaat ini dengan dua tonggak Bayern Munich, Leroy Sane dan Niklas Suele dilihat akan cuba untuk mempertingkat prestasi selepas sekian lama berehat panjang akibat kecederaan lutut.

Jerman akan berdepan Sepanyol di Stuttgart sebelum bertemu Switzerland tiga jari kemudian di Basel.

Kedua-dua perlawanan itu akan dilangsungkan tanpa penonton.

Ia akan memberi peluang buat jurulatih, Joachim Loew menguji tahap kecergasan bekas pemain sayap Manchester City, Sane dan pertahanan tengah, Suele tatkala skuad kali ini dilihat agak tempat tanpa kehadiran pemain Bayern Munich, Manuel Neuer, Serge Gnabry, Joshua Kimmich dan Leon Goretzka yang direhatkan.

"Saya rasa sudah berada pada tahap 80 peratus. Sudah tentu saya kehilangan suasana dan rentak permainan," kata Sane dalam laman web, Persatuan Bolasepak Jerman.

Pertahanan Bayern, Suele, yang mengalami kecederaan sama sejak Oktober lalu, kembali beraksi pada saingan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara di Lisbon.

Pemain berusia 24 tahun itu berjaya menyinar selepas menggantikan Jerome Boateng dalam perlawanan akhir di Lisbon ketika Bayern mengalahkan Paris St-Germain 1-0.

"Saya sudah lama merindui apa yang sering saya lakukan. Sepanyol masih lagi kuasa bola sepak dunia dengan kehadiran pemain yang hebat," kata Suele.

Masih segar lagi dengan kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara, Suele berharap kejayaan Bayern memberi inspirasi kepada skuad kebangsaan Jerman selepas Euro 2020 ditangguhkan ke tahun depan.

"Kami berjaya mencapai sesuatu yang luar biasa bersama Bayern. Sudah tentu akan ada peluang lebih baik untuk kejuaraan seterusnya," kata Suele.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 2:29 PM