AKSI Mueller (kanan) mengasak pemain Olympiakos,  Ruben Semedo di  Athens. - FOTO AFP
AKSI Mueller (kanan) mengasak pemain Olympiakos, Ruben Semedo di Athens. - FOTO AFP
AFP

INTER Milan dan Manchester United berminat menandatangani bekas bintang Jerman, Thomas Mueller yang semakin kehilangan tempat dalam barisan kesebelasan Bayern Munich, menurut laporan media Jerman hari ini.

Pemain berusia 30 tahun itu kerap memanaskan bangku simpanan musim ini selepas jurulatih Bayern, Niko Kovac lebih memilih Philippe Coutinho menerajui bahagian tengah pasukan itu.

Menurut majalah Kicker, Inter menunjukkan minat mendalam terhadap Mueller dan gergasi Itali itu mungkin mendapatkan pemain itu pada Januari depan manakala Sport Bild melaporkan kelab Liga Perdana, United yang dikaitkan dengan Mueller sebelum ini turut berminat mendapatkannya.

Mueller yang kontrak bersama Bayern tamat sehingga 2021 hanya tampil lima perlawanan musim ini masih berbisa ketika Bayern menewaskan Olympiakos 3-2 dalam aksi Liga Juara Juara semalam dengan membantu mencipta dua jaringan buat Robert Lewandowski.

"Saya berusaha fokus bermain bola sepak. Secara perlahan semua perbincangan akan temui noktah,” kata Mueller kepada wartawan di Athens ketika ditanya mengenai masa depan di Bayern.

Dia menghabiskan keseluruhan kariernya di Bayern yang disertainya ketika zaman sekolah pada 2000 dan presiden kelab, Uli Hoeness menegaskan tiada siapa di Bayern yang mahu Mueller pergi.

Bagaimanapun, tahun ini adalah detik sukar dalam karier Mueller yang disahkan jurulatih Jerman, Joachim Loew pada Mac lalu bahawa dia bersama pemenang Piala Dunia 2014, Mats Hummels dan Jerome Boateng tiada masa depan dalam skuad Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 11:39 PM