NEVERN mengekalkan pingat emas boling perseorangan lelaki di Sukma 2022, hari ini. FOTO FATHIL ASRI.
NEVERN mengekalkan pingat emas boling perseorangan lelaki di Sukma 2022, hari ini. FOTO FATHIL ASRI.
Affan Rostam


Subang Jaya: Pemain boling Sabah, Nevern Netaneel Marcelinnus mempertahankan pingat emas acara perseorangan lelaki bagi dua edisi berturut-turut iaitu pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dan Sukma 2022, hari ini.

Pada pertandingan di Sunway Mega Lanes, Subang Jaya, hari ini, Nevern mengatasi 69 peserta lain dengan rekod 1,276 jatuhan pin daripada enam pusingan.

Manakala, pingat perak disandang pemain Pahang, Danial Haiqal Izwan Suhardi yang melakukan 1,270 jatuhan pin dan gangsa menjadi milik Muhammad Hariz Adlan Azman dari Pulau Pinang (1,249 jatuhan pin).

Pemain berusia 22 tahun itu berkata, dia agak ketinggalan di awal permainan kerana banyak melakukan kesilapan sebelum kembali bangkit untuk menjadikan keputusan berpihak kepadanya.

"Taktikal untuk menang hari ini semuanya disebabkan keazaman serta ketepatan balingan yang saya lakukan. Saya berjaya bangkit di saat akhir biarpun ada lakukan kesilapan.

"Tetapi saya tak risau perkara itu. Kalau Tuhan dah cakap tiada rezeki, maka tiadalah. Boleh kata ini catatan terbaik saya dalam mana-mana kejohanan," katanya kepada media sebaik diumumkan selaku pemenang.

Nevern mengakui bermain dalam keadaan sedikit tertekan kerana dalam masa sama dia membawa status sebagai pemain boling kebangsaan.

"Memang ada tekanan bila turun sebagai atlet kebangsaan, ibarat saya bawa dua baju, satu untuk Sabah dan satu untuk kebangsaan.

"Jadi, tanggungjawab itu berat. Apapun saya sangat berpuas hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 8:20 PM