AKMAL Darwisy (tengah) dalam acara boling padang SUKMA Ke-19 di Arena Boling Padang. -Foto BERNAMA
AKMAL Darwisy (tengah) dalam acara boling padang SUKMA Ke-19 di Arena Boling Padang. -Foto BERNAMA
Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat

IPOH: Beraksi bersama atlet lebih tua, keupayaan atlet boling padang lelaki Johor, Akmal Darwisy Abdul Rahim yang baru berumur 11 tahun mencuri tumpuan dalam saingan final boling padang Sukan Malaysia (SUKMA) Perak yang dipertandingkan hari ini di Arena Lawn Bowls, Kompleks Sukan MBI.

Bertubuh kecil, Akmal Darwisy dilihat cuba memberi persembahan terbaik dalam perlawanan perebutan pingat emas biarpun akhirnya kelihatan menitiskan air mata apabila gandingan bersama abangnya, Amirul Danial Abdul Rahim serta Muhammad Fikri Mohamed Hashim dan Muhammad Saifudin Zulkepli terpaksa berpuas hati dengan perak apabila tewas 11-14 kepada pasukan Selangor.

Acara final berempat lelaki itu menyaksikan Selangor yang diwakili Mohamad Faizal Meskam, Mohammad Haikal Roslan, Putera Hafizuddin Budiman dan Saidina Hassan Mohd Jamil memenangi emas dalam acara final berempat lelaki.

“Ini kali pertama saya dapat ke SUKMA dan memang saya sangat sedih sebab tidak dapat membantu pasukan untuk memenangi pingat emas.

“Berbeza pada pusingan awal, dalam final tadi saya rasa semua balingan saya tidak menjadi dengan bunyi persekitaran yang bising membuatkan saya hilang fokus,” katanya yang juga murid darjah lima Sekolah Kebangsan Angkatan Tentera, Larkin.

Akmal Darwisy yang juga atlet termuda dalam kontinjen Johor berkata minatnya dalam sukan ini bermula selepas melihat abangnya, Amirul Danial yang berumur 15 tahun dan juga ayahnya, Abdul Rahim Tamam bermain sejak kecil.

“Ayah saya, Abdul Rahim banyak memberi sokongan buat saya memandangkan dia juga adalah penolong jurulatih skuad Johor.

“Saya akan bermain dalam acara triples lelaki pula selepas ini dan saya harap dapat melakukan lebih baik kerana perlawanan hari ini banyak mengajar saya untuk lebih bersedia,” katanya.

Ketika ditanya tentang impiannya apabila dewasa kelak, Akmal Darwisy berkata beliau mahu menjadi cikgu dan tidak mahu menjadi atlet sepenuh masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 7:36 PM