ZAINIDIN (tengah) memberi arahan kepada pemain pada perlawanan persahabatan menetang CIMB-YFA di Padang Pudu Ulu.  -Foto SAIFULLIZAN TAMADI
ZAINIDIN (tengah) memberi arahan kepada pemain pada perlawanan persahabatan menetang CIMB-YFA di Padang Pudu Ulu. -Foto SAIFULLIZAN TAMADI
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Perancangan Malaysia ‘memeram’ skuad utama pada Kejuaraan B-16 Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 dilihat membuahkan hasil selepas pencabarnya terpaksa berteka-teki dengan kekuatan sebenar pemain negara.

Situasi itu dialami skuad B-16 Tajikistan selepas jurulatihnya, Zainidin Rakhimov mengakui mereka tidak memiliki banyak maklumat mengenai pasukan yang bakal dihadapi mereka pada aksi pembukaan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018, Khamis ini.

“Secara jujurnya, kami tidak begitu mengetahui mengenai pasukan Malaysia dan kami juga tiada begitu banyak maklumat mengenai pasukan itu.

“Apa yang dapat kami lakukan adalah menyaksikan beberapa perlawanan terdahulu mereka dan cuba merancang pendekatan yang sesuai.

“Persiapan kami berjalan lancar dan tiada sebarang latihan istimewa yang kami lakukan. Kami hanya mahu memperagakan permainan yang menarik pada pertandingan ini,” katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan bertemu pasukan CIMB-YFA di Padang Latihan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Taman Pudu Ulu, petang tadi.

Pada aksi terbabit, Tajikistan yang mara ke saingan AFC selaku juara Kumpulan B menghantar amaran awal kepada skuad bimbingan Lim Teong Kim apabila membelasah lawan dengan keputusan 10-1.

Penguasaan penuh menyaksikan mereka mendahului dengan enam gol pada babak pertama namun pujian harus diberikan kepada CIMB-YFA kerana berjaya membolosi gawang Tajikistan yang kebal sepanjang tiga aksi kelayakan, September lalu.

Mengulas lanjut perkembangan pasukan, Zainidin mengakui anak buahnya bergelut dengan perubahan cuaca yang begitu berbeza namun optimis ia tidak akan mengganggu mereka daripada memperagakan aksi terbaik pada kempen kali ini.

“Perubahan cuaca sememangnya dirasai pemain kerana mereka dilihat cepat letih jadi aspek ini perlu diperbaiki secepat mungkin menjelang sepak mula bertemu Malaysia.

“Kami akan fokus perlawanan demi perlawanan dan kita lihat sejauh mana kami akan pergi. Selebihnya, kami serahkan kepada Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 7:42 PM