SKUAD B-16 sedang menjalani sesi latihan menjelang pertemuan dengan Thailand. -Foto BERNAMA
SKUAD B-16 sedang menjalani sesi latihan menjelang pertemuan dengan Thailand. -Foto BERNAMA
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 16 tahun negara (B-16) perlu mengelak daripada menghadiahkan ‘gol percuma’ kepada pihak lawan menerusi kesilapan di dalam mahupun di luar kotak penalti.

Peringatan itu dilontarkan penjaga gol skuad B-16, Abdul Alim Al-Amri Ali selepas menyaksikan Malaysia memberi dua gol ‘sedekah’ kepada Tajikistan menerusi sepakan penalti pada aksi pertama Kumpulan A Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. 

“Rakan sepasukan perlu mengelak daripada melakukan kekasaran di dalam kotak dan juga di luar kotak penalti yang mana ia akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

“Kadang-kala kesilapan sebegini seperti memberikan sepakan penalti kepada pihak lawan akan memberi kesan kepada pasukan dan mampu menjejaskan peluang meraih kemenangan,” katanya ketika sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, hari ini.

Mengulas mengenai persediaannya untuk menggantikan penjaga gol utama, Sikh Izhan Nazrel yang digantung satu perlawanan susulan kad merah pada aksi menentang Tajikistan, Abdul Alim mengakui dia tidak gentar untuk bertemu Thailand dan sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk diturunkan.

“Saya pernah beraksi bertemu Thailand pada Kejuaraan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 sebelum ini, jadi saya tahu serba sedikit mengenai kekuatan pasukan lawan.

“Meskipun ini saingan AFC yang jauh berbeza dengan AFF, saya melihat situasi bertemu Thailand tidak jauh bezanya.

“Apapun, saya akan berusaha memberikan yang terbaik dalam menggalas tugas selaku benteng terakhir negara,” katanya.

Skuad negara akan meneruskan misi memburu tiga mata bertemu jaguh Asia Tenggara itu, Ahad ini dengan tiga mata akan membolehkan Malaysia mara secara automatik ke peringkat suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 8:44 PM