RADA Krishnan mahu anak buah tutup segala kelemahan. FOTO/SAIFULLIZAN TAMADI
RADA Krishnan mahu anak buah tutup segala kelemahan. FOTO/SAIFULLIZAN TAMADI
Syafiq Aznan


“JANGAN bagi mereka ruang melakukan gerakan,” kata jurulatih CIMB-YFA, Rada Krishnan.

Peringatan itu diberikan Rada kepada skuad bawah 16 (B-16) tahun negara selepas dia menyaksikan anak buahnya dibelasah 10-1 oleh pasukan B-16 Tajikistan pada aksi persahabatan yang berlangsung di Padang Latihan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Taman Pudu Ulu, petang semalam.

Aksi bertemu CIMB-YFA itu menjadi aksi pemanas badan terakhir buat Tajikistan sebelum mereka bertemu pasukan muda negara pada aksi pembukaan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

“Tajikistan pasukan yang begitu baik dan saya lihat pemain mereka memiliki kepantasan dan kelebihan fizikal.

“Jadi, nasihat saya kepada pemain negara jangan berikan mereka ruang yang banyak untuk bergerak dan melakukan serangan. Elakkan lawan daripada bermain dengan corak permainan mereka.

“Jika pemain negara dapat menutup semua sudut dan mengganggu rentak mereka, saya yakin Malaysia dapat meraih kemenangan pada aksi pembukaan itu nanti,” katanya.

Mengulas lanjut persembahan anak buahnya, Rada menegaskan keputusan perlawanan tidak menjadi keutamaan sebaliknya pengalaman yang diraih khususnya bertemu pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

“Pemain saya beroleh pengalaman yang begitu berharga dan pada usia 15 dan 16 tahun, mereka sudah tahu intensiti perlawanan antarabangsa. Ini akan membuatkan mereka akan terus bekerja keras pada masa akan datang.

“Saya akui ada jurang yang agak besar antara pemain saya dan Tajikistan. Mereka pemain kebangsaan dan mendapat latihan yang formal setiap hari berbanding kami yang hanya menjalani latihan dua kali seminggu.

“Kami kekurangan latihan, fizikal dan kecergasan. Tetapi saya lihat pemain saya memiliki corak permainan dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan di atas padang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 3:56 PM