KOJIRO mengungguli acara final kata individu lelaki di Sukma 2022, hari ini. FOTO FC MAJLIS SUKAN NEGERI PULAU PINANG
KOJIRO mengungguli acara final kata individu lelaki di Sukma 2022, hari ini. FOTO FC MAJLIS SUKAN NEGERI PULAU PINANG
Saiful Affendy Sapran


Shah Alam: Naluri kuat mampu memenangi pingat emas nyata membuahkan hasil untuk atlet Pulau Pinang, Yong Kojiro apabila mengungguli acara final kata individu lelaki di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Atlet Pulau Pinang itu mempamer aksi kemas untuk mengutip 25.14 mata mengatasi pencabar dari Pahang, Abdul Rahim Shah Zulfaqqar dengan 24.96 mata.

"Segala-galanya berjalan lancar seperti saya bayangkan dan lawan adalah seorang yang kompetitif.

"Saya yakin untuk mendapat pingat emas kerana hasil pengorbanan dan usaha keras selama ini.

"Pingat emas Sukma 2022 ini untuk semua yang menyokong saya," katanya yang memenangi pingat gangsa dalam acara sama pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 di Thailand, baru-baru ini.

Emas itu adalah penutup terbaik untuknya kerana edisi kali ini menjadi penampilan terakhirnya di Sukma.

Sementara itu, acara kata berpasukan lelaki dimenangi Sabah yang mengecewakan wakil Pahang pada satu lagi aksi final.

Trio dibarisi Clevelence Carlos, Mohd Azhad Haziq Henry dan Mohd Haznil Henry meraih 24.82 mata sementara Pahang dibarisi Abdul Rahim, Muhammad Afiq Aiman Mohd Asrul dan Nasran Nazhan Shapudeain mengutip 23.94 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 7:28 PM