PETER SCHMEICHEL
PETER SCHMEICHEL
AFP

LONDON: Bekas penjaga gol Manchester United, Peter Schmeichel menegaskan kelab itu berada di landasan tepat di bawah kendalian pengurus, Jose Mourinho.

United bangkit susulan kekalahan di tangan Brighton dan Tottenham Hotspurs apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas Burnley, kelmarin sekali gus meredakan sedikit tekanan yang menyelubungi Old Trafford.

Mourinho sejak kebelakangan ini sering berselisih faham dengan media apabila beliau meminta supaya dihormati, berdasarkan rekodnya sebagai pengurus dan situasi yang dialaminya ketika ini apabila tidak mendapat peluang membawa masuk pemain baharu.

Bagaimanapun, Schmeichel menyifatkan dua trofi yang dimenangi pengurus dari Portugal itu di musim pertamanya mengendalikan United pada 2016/2017 dan menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Manchester City musim lalu – pencapaian terbaik United dalam aksi liga sejak Alex Ferguson bersara pada 2013 – sebagai tanda pasukan itu menunjukkan peningkatan.

“United menunjukkan peningkatan, mereka berdepan cabaran sukar sejak Alex Ferguson dan David Gill (bekas Ketua Pegawai Eksekutif) meninggalkan kelab pada masa yang sama. Ia meninggalkan kelab tanpa pengalaman yang diperlukan untuk sebuah kelab besar di dunia.

“United semakin hampir, kita boleh bercakap mengenai kesilapan tetapi kita ada Jose Mourinho yang sudah terbukti kredibilitinya. Dia memenangi Liga Europa, Piala Liga dan mara ke final Piala FA. United melakukan dengan baik dan di landasan tepat untuk melakukan yang lebih baik,” katanya.

Mourinho dikritik hebat apabila gagal menyuntik motivasi bagi mendapatkan aksi terbaik dua bintang kelab itu, Paul Pogba dan Alexis Sanchez, selain corak permainan yang bertentangan dengan tradisi kelab itu di bawah kendalian Ferguson.

Namun, Schmeichel yang memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris ketika berada di Old Trafford percaya ada banyak perkara yang boleh membuatkan penyokong berasa teruja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 7:49 AM