MOURINHO dedah disebalik tabir mengapa dirinya disingkir daripada United. FOTO/AFP
MOURINHO dedah disebalik tabir mengapa dirinya disingkir daripada United. FOTO/AFP
Reuters

MANCHESTER: Bekas pengendali Manchester United Jose Mourinho yang lama berdiam diri selepas dipecat akibat kesukaran bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu berkata, pengurus memerlukan struktur untuk menyokong mereka.

Mourinho dipecat oleh United bulan lalu selepas prestasi hambar pada bulan-bulan terakhir beliau di Old Trafford dan media melaporkan terdapat konflik dengan pemain-pemainnya.

Tampil sebagai penganalisis di saluran televisyen BeInSports, Mourinho berulang kali menegaskan kedudukan di tangga kedua Liga Perdana Inggeris musim lalu bersama United adalah pencapaian terbaik sepanjang kariernya sambil menyatakan cabaran yang terpaksa diharunginya.

“Orang mungkin akan kata: “Dia ini gila, menang 25 gelaran dan kini dia berkata tempat kedua dengan United adalah antara pencapaian terbaiknya dalam bola sepak,” kata Mourinho.

“Saya sering mengatakan ini kerana orang tidak tahu apa yang berlaku di balik tabir.

“Kita bukan lagi di zaman di mana pengurus itu sendiri cukup berkuasa untuk menangani situasi. Pengurus hari ini memerlukan struktur, dia memerlukan kelab yang diurus dengan cara tertentu.

“Kelab mesti mempunyai pemilik atau presiden, CEO atau pengarah eksekutif, pengarah bola sepak dan kemudian pengurus. Ini adalah struktur yang mampu menangani masalah bola sepak moden.

“Kelab perlu diurus dengan baik bagi menangani semua situasi di mana pengurus hanyalah pengurus, bukan seseorang yang cuba untuk mengekalkan disiplin atau cuba mengajar pemain-pemain.

“(Bekas pengendali United) Alex Ferguson pernah berkata yang apabila tiba hari di mana seseorang pemain itu lebih penting daripada kelab, selamat tinggal.

“Sekarang tidak lagi. Pengurus perlu ada untuk melatih pemain-pemain, bukan untuk menjaga disiplin mereka. Anda memerlukan struktur untuk menjaga pengurus dan memastikan semuanya teratur, jadi pemain tidak akan meletakkan diri mereka lebih tinggi daripada sepatutnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 7:45 AM