CARLO ANCELOTTI
CARLO ANCELOTTI
Reuters

MILAN: Pesaing kejuaraan Serie A, Napoli tewas 0-3 di Sampdoria selepas pengendalinya, Carlo Ancelotti membuat eksperimen dengan menggugurkan kapten, Marek Hamsik dan penyerang, Jose Callejon.

Gregoire Defrel meledak dua gol di babak pertama untuk meletakkan Sampdoria di depan, dan walaupun Napoli tampil lebih baik di babak kedua, Fabio Quagliarella mengesahkan kemenangan buat tuan rumah pada minit ke-75.

Naib juara tahun lalu, Napoli yang bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan pada dua perlawanan pertama, kini mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan.

Pengendali Napoli sebelum ini, Maurizio Sarri dikritik oleh presiden kelab, Aurelio De Laurentiis musim lalu kerana tidak menggilirkan pemain.

Ia adalah tindakan berani daripada Ancelotti memandangkan Hamsik tampil dalam semua perlawanan Serie A sejak April 2015, manakala Callejon memulakan kesemua 54 perlawanan liga sebelum ini.

Bagaimanapun percaturan itu memakan diri apabila Defrel, yang hanya menjaringkan satu gol untuk Roma musim lalu, memanfaatkan hantaran Riccardo Saponara untuk menewaskan David Ospina pada minit ke-11.

Ancelotti memasukkan Adam Ounas dan Dries Mertens di babak kedua dan walaupun memberi impak segera, Sampdoria sebaliknya menambah jaringan untuk kemenangan pertama mereka ke atas Napoli sejak tahun 2010.

“Kami memulakan perlawanan ini sama seperti dua perlawanan terdahulu tetapi kali ini kami gagal bangkit,” kata Ancelotti yang kembali ke Serie A selepas sembilan tahun. “Kami menghadiahkan babak pertama kepada mereka akibat sikap kami.

“Jika begitu (ketiadaan Hamsik dan Callejon), ia adalah kesilapan saya seorang, tetapi masalah sebenar kami adalah sikap.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 12:30 PM