PENYOKONG  pasti mahukan aksi bertenaga Melaka. FOTO/KHAIRUNISAH LOKMAN
PENYOKONG pasti mahukan aksi bertenaga Melaka. FOTO/KHAIRUNISAH LOKMAN
Nazri Abu Bakar


MELAKA United akan beraksi sebaik mungkin ketika berdepan Kelantan pada aksi terakhir Liga Super bagi memburu tambahan tiga mata di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Kapten Melaka, R Surendran berkata, walaupun Kelantan dilihat dalam dilema selepas ketua jurulatihnya direhatkan namun ia bukan halangan buat pemain skuad itu memberi tentangan kepada tuan rumah.

Katanya, perencanaan pembantu jurulatihnya Santhit Bensoh juga mampu mengejutkan skuad Hang Tuah, justeru apa yang penting pemain tuan rumah harus kental menghadapi pertembungan itu.

Menurutnya, kelebihan aksi di gelanggang sendiri seharusnya menjadi lonjakan moral buat United meraih tiga mata sebagai hadiah kepada sokongan tidak berbelah bagi peminat kepada pasukan selama ini.

“Kami sedar mereka memainkan peranan penting dalam meningkatkan motivasi kami ketika berada di zon penyingkiran untuk kekal relevan di Liga Super musim depan.

“Justeru, kami akan memberi yang terbaik dalam perlawanan itu kerana sebarang kealpaan boleh membawa padah kekalahan kepada The Red Warriors kelak,” katanya.

Bekas pemain Pahang itu berkata, mata maksimum juga penting bagi membolehkan Melaka memperbaiki kedudukan di carta liga seandainya PKNS tewas kepada FELDA United pada hari sama.

PKNS kini berada di tangga ketujuh (25 mata) diikuti Melaka tangga kelapan dengan 24 mata sementara Kelantan (19 mata) berada di tangga kedua terbawah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 9:47 PM