PELUMBA Moto3, Adam Norrodin. Foto ARKIB NSTP
PELUMBA Moto3, Adam Norrodin. Foto ARKIB NSTP
Sukhairi Thani

 

PELUMBA Moto3 negara Adam Norrodin mengakui Grand Prix (GP) British antara yang paling indah bagi dirinya musim lalu dan mahu mengembalikan momentum itu di Sirkit Silverstone, hujung minggu ini. 

Ketika itu, pelumba PETRONAS Sprinta berkenaan seakan sudah berputus asa apatah lagi memulakan perlumbaan dari barisan ketiga paling belakang namun atas kesungguhannya, dia berjaya menemui penamat dalam kelompok menjanjikan kutipan mata, di tempat ke-12. 

"Trek Silverstone ini mempunyai gabungan kelajuan di laluan lurus selain mempunyai karakter'berhenti dan pergi'," kata Adam. "Ia bukanlah sebuah sirkit yang mudah tetapi saya mempunyai perlumbaan yang baik di sini tahun lalu.

“Daripada memulakan perlumbaan dari petak ke-25, saya menamatkan perlumbaan di tempat ke-12. Ia adalah salah satu perlumbaan terbaik saya pada 2017."

Adam berdepan situasi berbeza pada perlumbaan sebelum ini di GP Austria 12 Ogos lalu apabila tidak mampu memanfaatkan peluang bermula dari petak ke-10 dan menamatkan saingan di tempat ke-17. 

Justeru, pelumba berusia 20 tahun itu bertekad untuk kembali memberikan saingan dengan memberi tumpuan kepada sesi kelayakan. 

"Apa yang penting, saya perlu memberi tumpuan kepada sesi kelayakan. Saya sedar kemampuan untuk saya berlumba dengan baik di trek ini, jadi saya perlu memastikan saya bermula dari posisi yang baik dan mencari peluang terbaik untuk bersaing dengan pelumba di depan," katanya. 

Adam kini mengumpul 24 mata untuk berada di tangga ke-21 selepas 11 pusingan musim manakala rakan sepasukannya dari Jepun, Ayumu Sasaki ke-18, 32 mata. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 11:41 AM