epa07037410 Moto3 riders (DARI kiri) PELUMBA Moto3 (dari kiri) Enea Bastianini, Adam Norrodin dan Lorenzo Dalla Porta ketika sesi latihan 21 September lalu. FOTO EPA
epa07037410 Moto3 riders (DARI kiri) PELUMBA Moto3 (dari kiri) Enea Bastianini, Adam Norrodin dan Lorenzo Dalla Porta ketika sesi latihan 21 September lalu. FOTO EPA
Sukhairi Thani


GRAND Prix (GP) Aragon menyajikan tuah buat Adam Norrodin apabila menamatkan perlumbaan Moto3 di tangga kelapan di Alcañiz, Sepanyol, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu sepatutnya memulakan perlumbaan dari petak ke-10 namun 13 pelumba lain dikenakan 12 penalti grid - kerana menunggang terlalu perlahan pada sesi kelayakan -  seterusnya menyaksikan Adam bermula dari petak kelima di Sirkit MotorLand Aragon itu.

Adam memulakan perlumbaan 19 pusingan di barisan kedua bersama Fabio di Giannantonio dan Marcos Ramirez namun mengakhiri saingan di tangga kelapan - penamat kedua terbaiknya selepas kelima di GP Argentina, April lalu.

Pelumba berusia 20 tahun yang bakal menggalas cabaran di Kejuaraan Moto2 Eropah musim depan itu menamatkan saingan dengan catatan 37 minit 59.322 saat, ketinggalan 10.292s daripada Jorge Martin dari pasukan Del Conca Gresini Moto3 yang mengungguli perlumbaan itu.

Marco Bezzecchi yang mengungguli sesi pemanas badan pagi tadi dan turut berada dalam senarai penalti grid menemui garisan penamat di tangga kedua dengan catatan 37:55.014s meskipun bermula dari petak ke-18.

Melengkapkan pentas podium adalah pemenang di GP Catalunya, Enea Bastianini dari pasukan Leopard Racing dengan catatan 37:55.075s.

Selepas 14 perlumbaan, Adam kini menduduki tangga ke-18 dengan 36 mata tatkala pusingan musim 2018 bakal memasuki pentas Asia dan Australia selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 7:46 PM