ADAM NORRODIN
ADAM NORRODIN
Daripada Sukhairi Thani di Silverstone dan London

SILVERSTONE: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin menjangkakan perlumbaan Grand Prix (GP) British hujung minggu ini akan berlangsung dalam keadaan trek basah.

Cuaca di Sirkit Silvertone diramal hujan Ahad ini dan pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu mahu mencari pelarasan terbaik bagi menghadapi perlumbaan.

“Kami perlu memberi tumpuan untuk hujung minggu ini kerana mungkin akan hujan,” kata Adam yang menamatkan hari pertama GP British di tangga ke-14 dengan mencatat 2 minit 15.895 saat pada sesi latihan bebas kedua, hari ini.

“Kami perlu memikirkan sesuatu untuk itu (hujan) dan kita akan lihat apa yang bakal berlaku nanti,” katanya yang mencatat 2’19.489s pada sesi latihan bebas pertama, pagi tadi.

“Saya bergelut di sesi latihan bebas pertama. Saya tahu pelarasan tak berapa bagus jadi kami melakukan pertukaran besar.

“Saya keluar awal pada sesi latihan bebas kedua dan dapat mengatasi masa dilakukan pada sesi sebelumnya.”

Adam kini berada di tangga ke-21 dengan 24 mata manakala rakan sepasukannya dari Jepun, Ayumu Sasaki ke-18, 32 mata.

PROFIL

Nama:Adam Norrodin

Tarikh lahir: 13 Jun 1998 (20 tahun)

tempat lahir: Batu Pahat, Johor

Kelas: Moto3

Motosikal: Honda

Pencapaian di GP British

2016 - ke-23

2017 - ke-12

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:12 PM