ADAM Norrodin. FOTO arkib NSTP
ADAM Norrodin. FOTO arkib NSTP
Sukhairi Thani


PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin terlepas untuk mengutip sebarang catatan mata selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol di tangga ke-16 di litar Jerez, hari ini.

“Kecewa dengan perlumbaan ini,” kata Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu.

“Saya berada dalam kelompok pelumba yang tidak dapat mengejar kelompok depan.

“Persaingan yang sengit, dan saya sudah tidak dapat lagi mengejar (kelompok depan) kerana ia sudah terlewat. Saya dapat lihat ada beberapa pelumba yang terjatuh di depan dan saya rasakan ia satu peluang untuk mencari mata.

“Di pusingan terakhir perlumbaan dan sebelum selekoh akhir, saya mendahului kelompok disertai tetapi saya tidak cukup baik di selekoh akhir dan kami terlepas kutipan mata untuk minggu ini,” katanya.

Adam bersaing sengit dengan pelumba dari Jepun, Ai Ogura bagi merebut tempat ke-15 yang menjanjikan satu mata berharga tatkala rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki membawa pulang empat mata apabila menamatkan saingan di tangga ke-12.

Adam yang memulakan perlumbaan dari petak ke-27 menamatkan saingan 22 pusingan saingan dengan catatan 40 minit 07.145 saat (s) dan ketinggalan 27.346s di belakang pemenang kali ini dari pasukan Sudmetal Schedl GP Racing, Philipp Oettl.

Selepas perlumbaan itu, Adam kekal dengan 16 mata keseluruhan dan kini berada di tangga ke-16 manakala Sasaki mempunyai kelebihan satu mata daripada rakan sepasukannya itu untuk berada di tangga ke-15.

Pusingan kelima musim 2018 dijadual berlangsung di GP Perancis pada 20 Mei ini dengan Sirkit Le Mans menjadi medan pertarungan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 9:02 PM