ADAM berjaya melengkapkan 22 pusingan perlumbaan. FOTO/FAIL
ADAM berjaya melengkapkan 22 pusingan perlumbaan. FOTO/FAIL
Sukhairi Thani

 

PENALTI 12 grid yang menyaksikan Adam Norrodin terpaksa memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Belanda dari petak terakhir disifatkan sebagai pengajaran berguna buat pelumba Moto3 negara itu.

Akibat daripada penalti yang dikenakan steward perlumbaan kerana menunggang perlahan di sesi latihan bebas kedua Jumaat lalu, pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu harus bermula dari petak ke-30 di Sirkit TT Assen namun berjaya melengkapkan 22 pusingan perlumbaan di tangga ke-21, sebentar tadi.

“Agak mengecewakan kerana penalti itu meninggalkan banyak kesan kepada saya untuk perlumbaan ini,” kata pelumba berusia 20 tahun itu.

“Saya banyak belajar daripada perlumbaan ini dan tak akan melakukannya lagi pada perlumbaan akan datang. Ini satu pengajaran yang baik untuk saya dan saya akan berusaha lebih gigih untuk perlumbaan seterusnya.”

Adam menamatkan perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan 38 minit 23.745 saat, ketinggalan 27.260s daripada pemenang dari pasukan Del Conca Gresini Moto3, Jorge Martin.

Selepas lapan pusingan musim setakat ini, Adam kini menduduki tangga ke-21 dalam senarai pelumba Moto3 dengan 19 mata keseluruhan.

Sementara itu dalam kelas Moto2, Khairul Idham Pawi yang memulakan saingan dari petak ke-12 menemui garisan penamat di tangga ke-19 manakala pelumba Itali, Francesco Bagnaia muncul pemenang.

Khairul Idham yang bersama pasukan IDEMITSU Honda Team Asia melengkapkan 24 pusingan perlumbaan dengan catatan 39'59.877s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 9:32 PM