OLTMANS (dua kanan) bersama Van Huizen memerhati pemain hoki kebangsaan memulakan latihan memanaskan di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
OLTMANS (dua kanan) bersama Van Huizen memerhati pemain hoki kebangsaan memulakan latihan memanaskan di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Selepas hampir empat bulan bekerja di bawah Roelant Oltmans, Stephen van Huizen mengakui makin selesa dengan peranan baharunya sebagai penolong jurulatih skuad Malaysian Tigers yang sedang mempersiapkan diri untuk mengharungi kempen kelayakan hoki ke Sukan Olimpik 2020.

Jelas jurulatih berusia 61 tahun itu, walaupun diturunkan pangkat namun ada hikmah besar di sebaliknya apatah lagi banyak benda baharu yang dipelajari.

"Saya pernah bekerja di bawah beberapa jurulatih bertaraf dunia seperti Terry Walsh (Australia), Paul Lissek (Jerman), Volker Knapp (Jerman) dan kini dengan Oltmans (Belanda).

"Semuanya mempunyai cara kerja berbeza dan Oltmans tidak terkecuali kerana beliau sangat berpengalaman luas termasuk pernah menjadi pengendali Belanda, India dan Pakistan sekali gus membuktikan beliau berpengetahuan bekerja dalam pelbagai suasana.

"Bagi saya beliau amat berpengalaman, jadi sebagai penolong jurulatih kami (saya dan Mohd Amin Rahim) akan sokong apa jua hala tuju beliau asalkan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya yang sebelum ini sempat tiga tahun bertindak sebagai ketua jurulatih negara.

Oltmans, 65, dibawa masuk oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada Oktober lalu dengan misi memburu slot ke Sukan Olimpik 2020 selepas Malaysia mensia-siakan peluang keemasan slot juara benua Asia apabila tewas kepada Jepun dalam pertarungan final Sukan Asia 2018.

Bagaimanapun, dengan tempoh dua bulan tidak banyak yang dapat dilakukannya semasa Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India apabila Malaysia yang turun sebagai pasukan ranking ke-12 dunia ketika itu sekadar menamatkan saingan di tempat ke-15.

Kegagalan itu juga menyaksikan ranking skuad negara tergelincir satu anak tangga ke kedudukan ke-13 dunia.

Namun, sudah ada tanda-tanda kebangkitan mampu dijelmakan selepas mereka kini dilihat berada dalam bentuk fizikal terbaik sepanjang Liga Hoki Malaysia 2019 hasil latihan kecergasan ala komando yang diterapkan Oltmans sepanjang dua bulan pertamanya di sini.

Faktor latihan keras itu juga mungkin menjadi antara penyumbang utama kegagalan di India kerana pemain tampak kepenatan, namun itu antara fasa yang perlu diharungi pemain supaya mereka benar-benar bersedia untuk Final Siri Hoki di Kuala Lumpur, April ini dengan dua pasukan terbaik akan mara ke acara Final Kelayakan Olimpik hujung tahun ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 3:33 PM