FATIN Syafika (kiri) cuba mengatasi pertahanan China dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan
FATIN Syafika (kiri) cuba mengatasi pertahanan China dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan
Naqib Nor Said


TONGGAK skuad hoki wanita negara, Fatin Syafika Mahd Sukri bersedia menggalas dua tugas selaku penyerang dan pemain tengah apabila kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang menyingkap tirainya, 18 Ogos ini.

Fatin, 23, pada asalnya seorang penyerang tetapi kini banyak digunakan oleh ketua jurulatih, Dhaarma Raj Abdullah di kedua-dua posisi berkenaan.

Menurut pemain serba boleh itu, walaupun perlu beraksi di dua posisi berbeza dalam satu-satu perlawanan, namun ia bukan masalah besar buatnya.

"Saya kini lebih banyak digunakan di posisi penyerang dan pemain tengah kanan. Saya tidak berdepan masalah dengan percaturan jurulatih, asalkan pasukan menang.

"Malah, saya percaya percaturan ini membuktikan jurulatih meletakkan kepercayaan sepenuhnya untuk saya berada lebih lama dalam padang," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat tahunan MHC di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fatin yang mesra disapa sebagai Jay berkata, untuk posisi tengah dia lebih banyak digilirkan dengan Nuraslinda Said manakala untuk posisi penyerang sama ada antara Nur Zafirah Aziz dan Nur Syafiqah Mohd Zain.

Dunia hoki moden hari ini menyaksikan pasukan lebih gemar melakukan penggiliran setiap lima atau enam minit sekali terutama bagi posisi penyerang dan tengah.

Malah, bagi pasukan negara sendiri, Dhaarma turut menyediakan jadual pertukaran di bangku simpanan dengan pemain hanya perlu mematuhi jadual berkenaan.

Di Jakarta nanti, Malaysia akan membuka kempen berdepan Hong Kong pada 19 Ogos, dengan China, Jepun dan Taiwan menanti selepas itu.

Dalam mesyuarat tahunan itu, MHC turut meraikan kejayaan Malaysian Tigress menjulang gelaran Siri Hoki Terbuka Dunia di Singapura, Jun lalu dengan menyerahkan insentif  RM1,000 kepada setiap pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 7:48 PM