NURASLINDA (kiri) tersenarai dalam barisan 18 pemain ke Jepun. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
NURASLINDA (kiri) tersenarai dalam barisan 18 pemain ke Jepun. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Selepas mempamer prestasi tidak menentu sepanjang tahun ini, penyerang hoki wanita negara, Nuraslinda Said (gambar) mempunyai sesuatu untuk dibuktikan apabila turun beraksi dalam saingan Piala Asia di Jepun bermula 28 Oktober ini.

Nuraslinda, 21, disenaraikan ke Jepun dan meskipun namanya terselit dalam barisan 18 pemain, dia perlu bekerja keras bagi membuktikan keputusan pengendali Dhaarma Raj Abdullah itu adalah tepat.

Hakikat itu diperkuatkan lagi dengan amaran terbaru diberikan Dhaarma bahawa beliau sedia membawa masuk tenaga muda sebaik berakhir kempen Piala Asia sebagai persiapan awal menghadapi temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.

“Kedudukan saya dalam pasukan belum kukuh, saya perlu beraksi baik di Jepun untuk membuktikan bahawa permainan saya sudah meningkat ke satu tahap baru selepas terpilih beraksi di lima kejohanan besar sejak tahun lalu.

“Jurulatih juga sudah memberitahu saya untuk lebih menyerlah di Jepun selain perlu lebih agresif dari segi ‘tackling’... Jadi, mahu atau tidak saya perlu memberikan yang terbaik nanti,” katanya ketika ditemui BH Sukan.

Sejak membuat penampilan sulung di Trofi Juara-Juara Asia di Singapura tahun lalu, nama anak jati Melaka itu sentiasa menjadi pilihan Dhaarma, tetapi ia mungkin tidak berpanjangan andai prestasinya terus kekal di takuk lama.

Kehadiran beberapa pemain ‘percubaan’ berusia 16 tahun juga menambah tekanan kepadanya dengan satu daripada lapan pemain itu - Nur Maizatulhanim Syafi Sheikh Fuad - sudah terpilih ke Jepun selepas berjaya memikat barisan kejurulatihan.

“Mereka (pemain percubaan) memang amat bagus kerana nampak tidak gugup dalam latihan, malah membuktikan mereka sudah bersedia merebut tempat dengan pemain senior,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 2:53 PM