POGBA mempunyai kontrak di United sehingga Jun 2021. FOTO/AFP
POGBA mempunyai kontrak di United sehingga Jun 2021. FOTO/AFP
Agensi

BARCELONA: Presiden Barcelona Josep Maria Bartomeu tidak mengesahkan mahupun menafikan laporan bahawa kelab itu sedang bersiap sedia untuk membeli pemain tengah Manchester United Paul Pogba.

Laporan media menyatakan bahawa Pogba yang mempunyai kontrak di United sehingga Jun 2021 mahu meninggalkan Old Trafford musim panas ini kerana hubungan bermasalahnya dengan jurulatih Jose Mourinho.

Menurut penerbitan yang berpangkalan di Sepanyol, Barca yang menghubungi ejen Pogba Mino Raiola, kini menunggu masa untuk cuba mendapatkan pemain Perancis itu sebelum jendela perpindahan berakhir.

“Saya tidak pernah bercakap mengenai sesiapa secara spesifik, anda sendiri tahu,” kata Bartomeu kepada stesyen televisyen Sepanyol TVE selepas Barca menewaskan Sevilla  2-1 pada Piala Super Sepanyol kelmarin, apabila ditanya mengenai Pogba.

“Lebih-lebih lagi kami menghormati kelab lain. Hakikatnya masih ada baki 20 hari dalam jendela perpindahan. Saya tidak katakan ia  untuk pemain terbabit (Pogba).

“Pemain ini berada dalam pasukannya dan menyertai kejohanan. Masih ada 20 hari lagi, kita lihat siapa yang akan meninggalkan kelab dan siapa akan datang, Kita lihat saja nanti.

“Adalah lebih baik anda bertanyakan hal pemain bola sepak kepada Pengarah Teknikal Barca, Eric Abidal, Penolong Pengarah Teknikal Ramon Planes atau Pengarah Sukan Pep Segura. Kami masih mempunyai masa dalam pasaran perpindahan untuk membeli pemain sekiranya diperlukan.”

Juara La Liga dan Piala Raja Sepanyol itu membeli lima pemain setakat ini iaitu  Arturo Vidal, Malcom, Clement Lenglet, Arthur dan Moussa Wague.

Pogba, 25, menyarung ikatan lengan kapten dan menjaringkan gol pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Leicester City 2-1 pada hujung minggu.

Pogba yang turut menjulang Piala Dunia bersama Perancis tidak menafikan spekulasi mengenai masa depannya apabila berkata selepas perlawanan itu: “Ada perkara yang tidak boleh saya katakan, jika tidak saya akan didenda.”

United membayar Juventus €105  juta (RM490 juta) untuk mendapatkan Pogba dua tahun lalu. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 10:07 AM