PEMAIN Forest meraikan gol penyamaan. FOTO/AGENSI
PEMAIN Forest meraikan gol penyamaan. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Pasukan pilihan musim ini, Nottingham Forest dan Middlesbrough dipaksa bermandi peluh sebelum bangkit daripada ambang kekalahan untuk mengikat lawan masing-masing pada aksi pertama kempen Liga Kejuaraan Inggeris, awal pagi tadi.

Forest yang berbelanja besar sepanjang pramusim, terpaksa akur diikat Bristol City 1-1 apabila Daryl Murphy muncul wira untuk menjaringkan gol penyamaan selepas Andreas Weimann meletakkan Bristol di depan seawal minit kelima.

Middlesbrough yang tewas pada penentuan playoff musim lalu, bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk meraih satu mata apabila mengikat Millwall 2-2.

Martin Braithwaite merapatkan kedudukan pada minit ke-87 manakala George Friend meranapkan impian penyokong tuan rumah menerusi gol kedua pada masa kecederaan untuk memadam kelebihan Millwall.

Keputusan lain menyaksikan Brentford muncul pendahulu liga pada hari pertama susulan kejayaan membelasah Rotherham 5-1 manakala West Bromwich Albion pula tersungkur 1-2 di tangan Bolton Wanderers.

Bekas pengendali England, Steve McClaren yang kini membimbing Queen’s Park Rangers kalah tipis 0-1 kepada Preston North End, sementara Wigan Athletic meraih kemenangan sulung 3-2 menewaskan Sheffield Wednesday.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 1:28 PM