PEMAIN Manchester City Nicolas Otamendi dan Kevin De Bruyne (dua dari kanan) diasak pemain Middlesbrough.
PEMAIN Manchester City Nicolas Otamendi dan Kevin De Bruyne (dua dari kanan) diasak pemain Middlesbrough.

Middlesbrough: Manchester City mara ke separuh akhir Piala FA dengan kemenangan 2-0 di Middlesbrough malam tadi apabila Pep Guardiola membuktikan beliau memandang serius kepentingan kejohanan itu.

Jaringan David Silva dan Sergio Aguero menghadiahkan kemenangan buat City mudah menewaskan Middlesbrough yang kelihatan gugup berdepan barisan pemain disenaraikan Guardiola.

Apa yang memberi ancaman buat Middlesbrough, kini berada di zon penyingkiran selepas gagal memenangi 10 perlawanan terakhir mereka, adalah barisan pemain ternama City biarpun kelab itu bakal berdepan Monaco dalam perlawanan penting aksi kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis.

City yang menampilkan kelas tersendiri tidak mengambil masa lama apabila tiga bintang utama Guardiola bergabung untuk jaringan pertama pada minit ke-3.

Hantaran tepat Yaya Toure ditanduk Pablo Zabaleta sebelum Silva memberi sentuhan terakhir melepasi penjaga gol lawan Brad Guzan.

City dilihat bersemangat mahu menamatkan cabaran Middlesbrough apabila Guzan empat kali dipaksa menyelamatkan gawang dalam tempoh 10 minit, dua kali menerusi Leroy Sane selain percubaan Silva dan Aguero yang akhirnya menewaskan penjaga gol itu pada minit ke-67 hasil hantaran Sane untuk gol kedua Citizens. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:14 AM