LIEW Daren. FOTO AFP
LIEW Daren. FOTO AFP
Jalani Sidek

Kebiasaannya kita sering bersorak apabila melihat Datuk Lee Chong Wei meraih kejayaan tidak kira apa saja kejohanan yang disertainya.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan hanya Chong Wei menjadi pengubat duka peminat badminton negara selama ini.

Namun, pada Kejohanan Dunia yang berlangsung di Nanjing, China, ramai yang pada awalnya berpendapat penampilan Malaysia pasti suram tanpa Chong Wei yang menarik diri berikutan masalah kesihatan.

Bagaimanapun, tekaan kita nyata meleset. Seakan ingin membuktikan sesuatu, satu persatu wakil negara menunjukkan peningkatan prestasi.

Antara mereka adalah perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei serta beregu muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Jin Wei berjaya mara ke pusingan ketiga sementara Aaron-Wooi Yik kandas di suku akhir. Namun, paling mencuri tumpuan, siapa lagi kalau bukan Liew Daren.

Kalau dulu orang mungkin geram melihat aksinya di atas gelanggang, namun sekarang Daren menerima pujian menggunung.

Apa tidaknya, sehingga artikel ini ditulis, Daren berjaya menempah tiket ke separuh akhir!

Jelas sekali bila beraksi tanpa sebarang tekanan atau orang putih kata ‘nothing to lose’, pemain kita mampu melakar sesuatu yang menakjubkan dan ia dibuktikan oleh Daren.

Mungkin ketiadaan Chong Wei memberi inspirasi tambahan kepadanya untuk membuktikan bahawa dirinya juga mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Chong Wei.

Daren juga membuktikan bahawa permainannya masih ada kualiti dan tidak mustahil pada usia yang menghampiri penghujung karier, dia mampu membuktikan sesuatu selepas ini.

Jelas sekali tiada yang mustahil jika kita berusaha dan terus berusaha.

Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 3:52 AM