AKSI Tze Yong di Sukan Komanwel Birmingham. FOTO AFP
AKSI Tze Yong di Sukan Komanwel Birmingham. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Lupa yang sudah berlalu dan beri yang terbaik.

Itu tekad pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menjelang Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun bermula Isnin ini.

Tze Yong akan membuka tirai kejohanan menentang pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo dengan rekod kemenangan memihak kepada pemain negara itu dengan keputusan 1-0.

Jika berjaya melepasi pusingan pertama pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham itu dijadualkan akan menentang sama ada pemain pilihan ke-13 dari Jepun, Kanta Tsuneyama atau pemain Thailand, Sitthikom Thammasin.

Tze Yong dalam hantaran di laman Facebooknya memohon terus sokongan daripada rakyat Malaysia kepada skuad badminton negara.

Selain Tze Yong, cabaran negara dalam acara perseorangan akan turut digalas oleh dua pemain profesional negara iaitu Lee Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kelima selain Liew Daren.

Zii Jia akan membuka tirai kempen di Tokyo menentang pemain Perancis, Brice Leverdez manakala Daren akan berdepan pilihan pertama dari Denmark, Victor Axelsen.

Sebagai rekod, sejak kejohanan diperkenalkan pada 1977, pemain negara tidak pernah berjaya menjadi juara dunia dengan Datuk Lee Chong Wei dilabel pemain yang melakar pencapaian terbaik apabila tiga kali meraih pingat perak dalam acara perseorangan lelaki pada edisi 2011, 2013 dan 2017 selain gangsa pada 2005.

Bagi acara beregu lelaki, kali terakhir Malaysia meraih pingat adalah menerusi gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang membawa pulang gangsa tahun lalu.

Hanya dua acara yang menyaksikan Malaysia tidak pernah memenangi pingat Kejohanan Dunia iaitu perseorangan wanita dan beregu wanita.

Dalam acara beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mendapat bye di pusingan pertama diramal bertemu pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han di pusingan kedua sebelum dijangka bertemu rakan senegara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei jika masing-masing layak ke pusingan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 1:06 PM