Fabian Peter

Ketiadaan jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China minggu depan memberi peluang buat gandingan beregu lelaki dan campuran untuk mencuri tumpuan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon, percaya sudah tiba masanya untuk pemain lain membuktikan kemampuan, selepas saban tahun bebanan diletakkan di bahu Chong Wei yang terpaksa melupakan kejohanan itu dan Sukan Asia bulan depan susulan masalah kesihatan.

“Inilah masanya, di mana kedua-dua beregu lelaki dan campuran mempunyai peluang yang sama rata untuk meraih keputusan yang baik dan kami perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang ini,” kata Peng Soon yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

“Melihat kepada undian, gandingan beregu lelaki dan campuran boleh melangkah jauh. Begitupun, kami tidak boleh terlalu yakin. 

“Sudah tentu seperti semua rakyat Malaysia, kami juga mahukan kemenangan tetapi kami perlu fokus dan bermain dengan baik dalam setiap perlawanan.

“Saya juga berharap perseorangan wanita dan beregu wanita turut beraksi dengan baik, tetapi seperti saya katakan peluang terbaik terletak di tangan pemain beregu lelaki dan campuran.”

PEMAIN badminton negara, Chan Peng Soon (kiri) melayani para peminatnya dikalangan para atlet negara Laos yang menyertai Sukan Sekolah ASEAN di Kuala Lumpur. FOTO Bernama
PEMAIN badminton negara, Chan Peng Soon (kiri) melayani para peminatnya dikalangan para atlet negara Laos yang menyertai Sukan Sekolah ASEAN di Kuala Lumpur. FOTO Bernama

Ketika ditanya adakah ketiadaan Chong Wei mengganggu fokus pemain, Peng Soon yang juga pemain paling senior dalam skuad negara berkata: “Saya tidak mahu memberikan komen mengenai perkara ini.

“Kami betul-betul tidak tahu sama ada masalah kesihatannya serius atau tidak. Apa yang kami semua tahu, dia tidak sihat dan kami berharap dia akan cepat pulih. Ketika ini, kami perlu kekal fokus supaya sasaran yang ditetapkan berjaya dicapai.”

Peng Soon yang bergandingan dengan Goh Liu Ying diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan dan sudah mara ke pusingan kedua selepas mendapat bye pada pusingan pertama.

Gandingan beregu campuran negara lain yang turut berpeluang ialah pilihan ketujuh dan juara Terbuka Singapura baru-baru ini, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie selain Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Dalam kategori beregu lelaki, pemenang pingat perak Olimpik Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan mengetuai cabaran negara disamping gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 7:40 PM