BEKAS pemain negara, Roslin Hashim akui tugas sukar menanti skuad badminton negara di Sukan Komanwel. - Foto Eizairi Shamsudin
BEKAS pemain negara, Roslin Hashim akui tugas sukar menanti skuad badminton negara di Sukan Komanwel. - Foto Eizairi Shamsudin
Fabian Peter


TIGA emas yang disasarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Sukan Komanwel di Gold Coast mungkin tugas paling sukar buat skuad negara dalam sepanjang sejarah temasya berkenaan.

 

Menurut bekas pemain negara, Roslin Hashim, Malaysia sebelum ini sentiasa mendapat laluan mudah dan diletakkan selaku pasukan pilihan, namun situasi sekarang sudah berubah.

 

Sejak sukan berkenaan diperkenalkan pada 1966 di Kingston, Jamaica, pasukan negara sudah memenangi keseluruhan 27 emas sekali gus menjadi negara kedua paling berjaya di temasya berkenaan di belakang England (35 emas)

 

"Sekarang semua sudah berubah, dengan sasaran kali ini adalah tiga emas, ia antara paling sukar untuk diraih skuad negara.

 

"Sebelum ini, kita mampu untuk meraih emas melalui Datuk Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki tapi kali ini, pemain India, K Srikanth dan HS Prannoy akan memberi tentangan.

 

"Dalam perseorangan wanita, saya tidak rasa kita mempunyai peluang untuk mengatasi India. Ia memang tidak mustahil untuk meraih tiga emas tapi ia bukannya mudah," kata Roslin.

 

Pada temasya yang sama di Glasgow, empat tahun lalu, Malaysia meraih tiga emas melalui beregu lelaki iaitu Goh V Shem-Tan Wee Kiong; beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan berpasukan campuran.

 

Kali ini, disebabkan masalah kecederaan, Malaysia terpaksa bergantung harap kepada gandingan bidan terjun, Vivian-Chow Mei Kuan.

 

Pemain lain dalam skuad ini ialah perseorangan wanita, Soniia Cheah; beregu lelaki, V Shem-Wee Kiong, beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

 

Malaysia, akan memulakan kempen dalam berpasukan campuran, apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Kanada, Ghana dan Seychelles.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 8:44 PM