ZII Jia bakal beraksi di Sukan Asia tanpa Chong Wei. FOTO/FAIL
ZII Jia bakal beraksi di Sukan Asia tanpa Chong Wei. FOTO/FAIL
Fabian Peter


TANPA tunjuk ajar pemain paling berpengalaman Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven yang bakal membuat penampilan pertama perlu berdikari sendiri di Sukan Asia Indonesia bermula minggu ini. 

 Chong Wei, bekas pemain nombor satu dunia menarik diri pada temasya sukan itu kerana masalah kesihatan dan ketika ini sedang menjalani rawatan.

 Ketiadaannya memberi impak besar terutamanya Zii Jia, Jun Hao dan Joo Ven yang akan membuat penampilan sulung di Sukan Asia.

 Zii Jia ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebelum berlepas ke Jakarta hari ini berkata: "Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenainya kerana ini penampilan pertama di Sukan Asia dan saya sudah melakukan persiapan rapi sejak Terbuka Singapura lagi.

 "Setakat ini segala-galanya mengikut apa yang dirancang dan saya berada pada prestasi terbaik. Hanya saya harap dapat mengekalkan prestasi semasa.

 "Saya percaya setiap atlet juga mahu fokus dan mempamer aksi paling terbaik untuk Malaysia.

 Juara Kejohanan Remaja Asia tahun lalu, Jun Hao pula mengakui pasukan merasai ketiadaan Chong Wei, namun bukan masanya untuk terus merasai kehilangannya.

 "Ketiadaan Chong Wei sememangnya satu kehilangan besar untuk kami tetapi segala-galanya perlu diteruskan.

 "Kami tidak boleh bermain dengan memikirkan yang kami akan tewas.

 "Saya hanya akan bermain dalam acara berpasukan. Jadi, saya harap dapat diturunkan dan memberikan yang terbaik," katanya.

 Ketiadaan Chong Wei menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih pemain profesional, Liew Daren sebagai pengganti.

 Bekas pemain kebangsaan itu dijemput untuk mengetuai pasukan selepas berjaya mara sehingga ke separuh akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China.

 Barisan pemain lain yang turut serta adalah gandingan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu nombor dua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selain pemain beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Soon Huat.

   

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 1:22 PM