BOON Heong kembali bersama BAM.
BOON Heong kembali bersama BAM.
Fabian Peter


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedia mengalu-alukan kehadiran pemenang emas Sukan Asia 2006, Tan Boon Heong kembali ke skuad kebangsaan dalam usaha badan induk itu untuk mengukuhkan beregu lelaki bagi menghadapi cabaran Piala Thomas di Bangkok, Thailand, Mei nanti.

    Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

    Norza berkata, Boon Heong - yang keluar daripada badan induk itu pada 2015 - memohon untuk kembali selepas gandingan bebasnya, Hendra Setiawan menyertai skuad kebangsaan Indonesia.

    Ketika beregu lelaki Malaysia berada dalam keadaan tidak menentu, BAM tidak perlu berfikir panjang untuk menerima kembali pemain berusia 30 tahun itu.

WEE Kiong (kiri) dan Goh V.Shem sedang  menjalani latihan.
WEE Kiong (kiri) dan Goh V.Shem sedang menjalani latihan.

    “Boon Heong memohon untuk menyertai kami selepas gandingannya, Hendra Setiawan pulang ke negara asal.

    “Jika dilihat kepada kekuatan beregu lelaki ketika ini, kami boleh menggunakan kudratnya tetapi dia perlu terima terma yang kami kemukakan. Setakat ini, hanya gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang boleh dikatakan mantap tetapi beregu kedua dan ketiga masih lagi goyah.

    “Kami mahu mencabar di Piala Thomas nanti. Kami perlu membentuk pasukan bagus kerana kami mahu menang,” kata Norza yang turut mengumumkan pelantikan Rosman Razak selaku ketua jurulatih beregu wanita yang baru dan beliau akan dibantu bekas ketua jurulatih, Wong Pei Tty.

    “Disebabkan Rosman kini menjadi ketua jurulatih beregu wanita, terdapat kekosongan di beregu lelaki. Kami ada memikirkan beberapa calon tetapi kami belum boleh mendedahkan identiti mereka.”

    Sementara itu, Norza menambah, beberapa perubahan sudah dilakukan terhadap skuad yang akan bersaing di Sukan Komanwel dan ia dibuat berdasarkan prestasi semasa pemain selain ada yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

AKSI Wee Kiong (kiri) dan V. Shem paling mantap dalam beregu lelaki.
AKSI Wee Kiong (kiri) dan V. Shem paling mantap dalam beregu lelaki.

    “Tarikh akhir senarai pemain ke Sukan Komanwel ialah pada 7 Mac. Justeru, kami perlu segera menentukan siapa yang akan dipilih. Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan digantikan dengan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

    “Di dalam acara beregu wanita, Woon Khe Wei tidak dapat beraksi selama enam bulan dan tempatnya akan diganti Chow Mei Kuan. Bagi acara perseorangan wanita, kami masih perlu mendapatkan maklumat dari ketua jurulatih, Tey Seu Bock. Ada kemungkinan Goh Jin Wei akan digantikan,” kata Norza.

    Untuk Piala Thomas, BAM masih boleh melakukan perubahan ke atas pasukan hingga hujung Mac.

    “Buat masa ini, Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia muncul pemain perseorangan lelaki yang sudah sah untuk ke Piala Thomas. Pemain lain (Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven dan Leong Jun Hao) perlu bersaing merebut tempat. Kami juga sedang menunggu laporan Soon Kit. Kami mahu jurulatih perseorangan dan beregu lelaki bekerjasama.”

    Kontinjen Malaysia akan memulakan latihan pusat seminggu sebelum Piala Thomas dan dijangka berlepas ke Bangkok pada 16 Mei.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 10:13 PM