PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berang dengan prestasi pemain negara. - Foto Eizairi Shamsudin
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berang dengan prestasi pemain negara. - Foto Eizairi Shamsudin
Fabian Peter

 

KETIKA Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak berpuas hati dengan prestasi pemain negara di Seluruh England, ada kejayaan lain membabitkan Malaysia di kejohanan itu.

Semalam, bekas jurulatih negara, Jeremy Gan, berjaya membantu pasangan beregu campuran Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino meraih kejuaraan sulung mereka di Seluruh England .

Pasangan berkenaan berada di bawah bimbingan Jeremy bermula awal tahun ini dan seterusnya mencetuskan tanda tanya apa yang berlaku terhadap badminton negara.

Bekas pemain kebangsaan, Roslin Hashim menyuarakan pandangannya di laman Facebook miliknya - mempersoalkan mengenai keadaan pemain negara.

"Park Joo Boong (ketua jurulatih Jepun) dan Jeremy Gan kedua-duanya pernah jaga pemain Malaysia. Salahnya di mana?," kata Roslin.

Bekas pasangan nombor satu negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying satu-satunya pasangan beregu campuran Malaysia berjaya mara ke pusingan kedua di Birmingham, sebelum tumpas kepada wakil China, Zhang Nan-Li Yinhui.

Juara kebangsaan, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, terkandas di pusingan pertama.

Dalam aksi perseorangan wanita, pemain nombor satu negara, Soniia Cheah, tersingkir awal di pusingan pertama, manakala juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei kalah di pusingan kedua.

Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, tersekat di suku akhir.

Semalam, Norza berang dengan prestasi pemain negara dan mengakui akan melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini.

"Saya serius dalam perkara ini. Pemain perlu sedar setiap kali mereka keluar beraksi di peringkat antarabangsa, tanggungjawab mereka adalah berikan yang terbaik. Mereka bukan ke sana untuk makan angin," kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 7:07 PM