STUART akan melihat semula kandungan MoU dengan J League. Foto NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
STUART akan melihat semula kandungan MoU dengan J League. Foto NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Zulfaizan Mansor


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam menjelaskan badan induk itu tidak akan meniru sepenuhnya sistem daripada Jepun dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.

Pada tahun 2015, FAM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Liga Bola Sepak Profesional Jepun (J League) untuk menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan kualiti bola sepak di negara ini.

Namun, pada sidang media di Wisma FAM, hari ini, Stuart menjelaskan sukar untuk FAM meniru sepenuhnya sistem yang dilakukan gergasi bola sepak Asia itu kerana beberapa perbezaan terutama dari segi budaya dan industri.

“FAM sudah menandatangani MoU dengan J League beberapa tahun lalu dan saya akan lihat kandungannya tetapi saya beri jaminan kita tidak boleh ikut mereka secara keseluruhan.

“Jepun memiliki beberapa perbezaan termasuk budaya, sistem dan industri bola sepak mereka tetapi kita tetap akan ambil beberapa proses utama mereka.

“Beberapa mekanisma kita perlu bentuk mengikut cara Malaysia. Sudah pasti kita tidak akan tiru sepenuhnya pelan dari Jepun kerana terlalu sukar dan saya rasa kalau kita ambil pelan bulat-bulat dari Jepun, perancangan kita mungkin akan gagal,” katanya.

Menerusi MoU yang ditandatangani pada Jun 2015 itu, FAM dan J League akan bekerjasama dalam program pertukaran, pemerhatian dan latihan untuk jurulatih, pengadil, pemain serta aspek fizikal, latihan, penjagaan kesihatan, pengurusan kejohanan, akademi dan pemasaran.

Kerjasama itu juga akan membabitkan penganjuran perlawanan persahabatan antara kelab Liga Super dan Liga Perdana Malaysia dengan J League serta mengadakan kem latihan bersama untuk skuad remaja kedua-dua negara.

Selain itu, Stuart menjelaskan FAM sudah memiliki pelan dalam memastikan arena bola sepak kembali ke tahap tertinggi,

“Pelan ini bukan angan-angan saja, ia pelan yang jelas dan terbaru. Kami akan bincang dalam exco untuk memestikan segala perancangan dapat diterjemahkan.

“Malah, dalam dua atau tiga bulan lagi kita akan adakan sesi bersama setiausaha persatuan negeri dan kelab iaitu ahli gabungan FAM. Pada pertemuan itu kita akan bincang segala masalah atau isu berbangkit.

“Semua negara ada masalah, tapi di Malaysia kita patut bersyukur kerana saya lihat semua pihak menyokong bola sepak negara termasuk pihak kerajaan. Jadi saya fikir kita mampu bangkit jika kita semua bekerjasama dalam satu arah,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 10:45 PM