STUART mahu pasukan kebangsaan miliki pelan pembangunan  terbaik.
STUART mahu pasukan kebangsaan miliki pelan pembangunan terbaik.
yazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan menjadikan enam negara sebagai model transformasi atau kayu pengukur dalam merencanakan program pembangunan bola sepak untuk jangka masa panjang.

Setiausahanya Stuart Ramalingam berkata, FAM akan menjalinkan kerjasama dengan Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan dan Jepun untuk mengguna pakai modul pembangunan bola sepak mereka kepada pasukan negara.

Beliau berkata, empat negara berkenaan yang memiliki reputasi cemerlang di peringkat Asia sudah bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan Malaysia dan perkara ini baik demi memantapkan lagi pasukan kebangsaan.

“Kita memang mempunyai perancangan dalam menjalinkan kerjasama dengan negara yang memiliki pelan pembangunan bola sepak yang bagus dan terbaik untuk diterapkan kepada pasukan kebangsaan.

“Empat negara ini khusus untuk memantapkan pasukan kebangsaan merangkumi pelbagai aspek termasuk pentadbiran dan pasukan akar umbi,” katanya kepada Arena Metro, di sini.

Stuart berkata, pelan kerjasama terbabit sejajar dengan hala tuju F:30 untuk mengubah ekosistem bola sepak negara yang meletakkan sasaran muncul antara lima negara terbaik Asia menjelang 2030.

“Pada masa sama kita juga akan bekerjasama dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi menambah baik mutu pengadilan liga selain membabitkan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat.

“Seperti sedia maklum, EPL antara liga yang menghimpunkan ramai pemain hebat dan juga terkenal di seluruh dunia menyebabkan kita memilih untuk berkongsi idea dan kepakaran mereka,” katanya.

Selain itu, kerjasama dengan Liga Sepanyol (La Liga) pula untuk memantapkan lagi bidang perniagaan dan pengkomersialan membabitkan pasukan Liga Malaysia (Liga M).

“La Liga mempunyai sistem perniagaan berasaskan bola sepak yang mantap dan perkara itu dilihat mampu memberi impak kepada pasukan Liga M untuk memberi tumpuan dalam bidang perniagaan lain bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 7:00 AM