PENJAGA gol England, Jordan Pickford menyelamatkan sepakan penalti pemain Colombia, Carlos Bacca untuk membawa England ke suku akhir. Foto EPA-EFE
PENJAGA gol England, Jordan Pickford menyelamatkan sepakan penalti pemain Colombia, Carlos Bacca untuk membawa England ke suku akhir. Foto EPA-EFE
AFP

PENJAGA gol England, Jordan Pickford berkata, penelitian mendalam ke atas Colombia menjadi azimat buatnya untuk menyelamatkan sepakan penalti Carlos Bacca dalam penentuan penalti bagi membantu pasukannya mara ke suku akhir.

Pemain Everton itu dikritik selepas melepaskan jaringan kemenangan Adnan Januzaj dalam aksi peringkat kumpulan ketika England tumpas 0-1 kepada Belgium, malah penjaga gol lawan, Thibaut Courtois juga menganggap dia terlalu pendek.

Bagaimanapun, Pickford menonjolkan dirinya selepas menyelamatkan sepakan penalti berkenaan.

Eric Dier hadir pula untuk menjaringkan gol kemenangan dan membolehkan England menamatkan badi penalti di Piala Dunia selepas gagal pada 1990, 1998 dan 2006.

"Saya banyak mengkaji kekuatan mereka. Saya mempunyai kekuatan dan ketangkasan.

"Saya tidak kisah jika bukan antara penjaga gol yang bersaiz besar kerana ia sebenarnya bergantung kepada masa dan keputusan tepat untuk menyelamatkan bola," kata Pickford kepada ITV.

Dier yang masuk selaku pemain gantian berasa lega sepakan penaltinya berjaya menumpaskan David Opsina, selepas terlepas peluang untuk menjaringkan gol pada masa tambahan.

"Ia memang sangat mendebarkan, saya tidak pernah berada pada situasi seperti itu tetapi saya merasakan saya perlu menjaringkan gol ketika masa tambahan melalui tandukan.

“Jadi saya berasa sangat lega kerana dapat menjaringkan gol," kata pemain tengah Tottenham Hotspur itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 7:43 AM