Pickford anggap kritikan Courtois tidak jejaskannya. FOTO EPA-EFE/AFP
Pickford anggap kritikan Courtois tidak jejaskannya. FOTO EPA-EFE/AFP
Daily Mail

JORDAN Pickford membalas kritikan Thibaut Courtois yang mempersendakan fizikal rendahnya - mengatakan kemampuannya berada hampir dengan penjaga gol Belgium itu.

Secara perbandingan, Courtois berketinggian 6 kaki 6 inci (1.99m) berbanding Pickford 6 kaki 1 inci (185sm).

Sindiran Courtois menjadi tajuk akhbar selepas menpersendakan Pickford kerana tidak mampu menjangkau menyelamatkan sepakan Adnan Januzaj ketika Belgium menang ke atas England pada peringkat kumpulan Piala Dunia.

Reaksi Pickford pada beberapa perlawanan kemudian membuktikan kata-katanya itu.

Dia cemerlang menyelamatkan sepakan penalti membantu England melepasi Colombia pada saingan 16 terakhir sebelum dipilih Pemain Terbaik Perlawanan ketika menang pada suku akhir mengatasi Sweden.

Ditanya mengenai komen Courtois, penjaga gol The Three Lions mendakwa kritikan itu tidak menjejaskannya.

Malah penjaga gol Everton itu yakin dia tidak jauh untuk berada di tahap sama dengan penjaga gol terbaik dunia yang lain.

Pickford berkata: “Saya tidak akan membiarkan perkara itu membuatkan fokus terjejas. Ia hanya permainan bolasepak. Saya hanya orang biasa.

“Ramai orang mengatakan saya pemain muda tetapi ia musim kedua saya berada dalam Liga Perdana dan saya tidak merasakan jauh dibandingkan dengan penjaga gol seperti Courtois.”

Peningkatan prestasi penjaga gol berusia 24 tahun itu naik mendadak biarpun bukan pilihan utama England sebelum Piala Dunia.

Pickford hanya beraksi dalam Liga kedua empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 12:07 AM