ERIC DIER
ERIC DIER
Agensi

MOSCOW: Eric Dier mengakui, dia cukup gementar ketika mahu mengambil sepakan dalam penentuan penalti yang menyaksikan pasukannya, England menyingkirkan Colombia, 4-3 selepas tamat masa penuh perlawanan pusingan kedua Piala Dunia, pagi tadi.

Pemain tengah Tottenham itu masuk sebagai pemain gantian di babak kedua dan memiliki peluang terbaik untuk memastikan England menang lebih awal pada penghujung masa tambahan – menerusi tandukan hasil tendangan sudut.

Namun, Dier gagal menyempurnakan peluang keemasan itu sehingga memaksa perlawanan peringkat 16 terbaik Piala Dunia itu ditentukan menerusi sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Selepas terlepas peluang menerusi tandukan itu, Dier merasakan dia mesti melakukan sesuatu dengan menjaringkan gol untuk memastikan England terus meraih kelebihan dan menang dalam penentuan penalti.

“Ia cukup mendebarkan,” katanhya kepada ITV.

“Saya tidak pernah berada dalam situasi seperti ini, tetapi tetap cuba tenangkan diri dan fokus untuk meledak gol kerana saya sudah terlepas peluang menerusi tandukan. Jadi, saya sangat gembira kerana akhirnya saya menjaringkan gol,”

England ketinggalan pada pertengahan penentuan penalti selepas sepakan Jordan Henderson diselamatkan penjaga gol Colombia.

Namun, mereka bernasib baik apabila percubaan pemain Colombia, Mateus Uribe terkena palang dan selepas itu, penjaga gol England, Jordan Pickford muncul hero apabila menyelamatkan sepakan Carlos Bacca.

Selepas dipersalahkan ketika England tumbang kepada Belgium di peringkat kumpulan, Dier berkata dalam situasi sekarang, Pickford memang layak dipuji.

“Jordan (Pickford) penjaga gol yang menakjubkan dan dia layak menerima semua sanjungan,” kata Dier.

“Sikapnya cukup terpuji dan dia memang bagus ketika latihan dan membawanya ketika dalam perlawanan.

“Sukar untuk bangkit selepas ketinggalan. Kami tahu, kami perlu melakukannya dan sentiasa bertenang. Kami tidak pernah panik. Kami memang sudah bersedia untuk itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 10:39 AM