FEDERER mula dengan langkah kanan dengan menewaskan Lajovic. FOTO/AFP
FEDERER mula dengan langkah kanan dengan menewaskan Lajovic. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Juara bertahan Roger Federer memulakan kempen Wimbledon ke-20 dengan wajah baru dan kemenangan selesa 6-1, 6-3, 6-4 ke atas pemain Serbia, Dusan Lajovic hari ini.

Federer yang juga pilihan utama melangkah ke gelanggang utama dengan pakaian direka syarikat gergasi Jepun, Uniqlo menerusi kontrak dianggar bernilai AS$300 juta (RM1.21 bilion) selepas bekerjasama dengan Nike selama dua dekad.

Namun yang lain masih sama buat juara lapan kali dari Switzerland berusia 36 tahun itu yang menewaskan Lajovic, pemain nombor 57 dunia dalam tempoh hanya 79 minit.

Ia tahun kedua berturut-turut Federer menewaskan pemain Serbia itu di Wimbledon.

“Saya amat gembira. Saya bermula dengan baik berbanding pertemuan dengannya tahun lalu. Saya masih ingat saya banyak bergelut pada awal permainan ketika itu,” kata Federer yang tidak berdepan masalah menewaskan pemain itu.

“Ia sesuatu yang menyeronokkan. Saya dapat mematahkan servisnya sejak awal permainan dan berjaya mengutip mata.”

Selepas hanya memerlukan 20 minit untuk melengkapkan set pertama, Federer mencatat 35 pukulan ‘winners’ ke atas Lajovic, mematahkan servisnya lima kali, untuk pertemuan pusingan kedua menentang sama ada Lukas Lacko dari Slovakia atau pemain kelayakan dari Perancis, Benjamin Bonzi.

Turut menyertai Federer pada pusingan kedua adalah pemain yang ditewaskannya pada final tahun lalu iaitu Marin Cilic.

Cilic, pilihan ketiga kejohanan menewaskan pemain Jepun, Yoshihito Nishioka 6-1, 6-4, 6-4.

Dia akan berdepan sama ada pemain kelayakan Australia, Jason Kubler atau Guido Pella dari Argentina untuk ke pusingan berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 12:35 AM