Pemain Greece, Stefanos Tsitsipas gagal mara ke separuh akhir kejohanan di Marseille. FOTO AFP
Pemain Greece, Stefanos Tsitsipas gagal mara ke separuh akhir kejohanan di Marseille. FOTO AFP
AFP

Marseille: Pemain nombor empat dunia dan pilihan utama, Stefanos Tsitsipas mengalami kekalahan mengejut ke atas pemain kelayakan dan berada di ranking 163 dari Rusia, Roman Safiullin pada aksi suku akhir kejohanan ATP Marseille, awal pagi ini.

Safiullin, 24, melakar kemenangan istimewa 6-4, 6-4 ke atas lawan dari Greece yang muncul naib juara di Terbuka Perancis tahun lalu.

"Ia adalah kemenangan yang sangat hebat dalam karier saya," kata pemain dari Rusia yang juga bekas juara junior Terbuka Australia itu.

"Ia adalah penampilan pertama saya di suku akhir dan kali pertama saya menewaskan pemain dalam kelompok 10 terbaik."

Safiullin akan berdepan pemain nombor sembilan dunia dan juara di Rotterdam minggu lalu, Felix Auger-Aliassime dari Kanada dalam saingan empat terakhir.

Auger-Aliassime menyingkirkan Ilya Ivashka dari Belarus 6-3, 6-4.

Satu lagi aksi separuh akhir membabitkan pertarungan antara pilihan kedua, Andrey Rublev dari Rusia menentang pemain Perancis, Benjamin Bonzi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 7:43 AM