DJOKOVIC (kiri) gagal menyumbang mata kemenangan dalam aksi beregu. FOTO AFP
DJOKOVIC (kiri) gagal menyumbang mata kemenangan dalam aksi beregu. FOTO AFP
AFP

Madrid: Impian Novak Djokovic untuk menambah kejuaraan kedua Piala Davis tidak kesampaian selepas Serbia tumpas kepada Croatia dalam perlawanan separuh akhir.

Djokovic dan pasangannya, Filip Krajinovic tumpas 5-7, 1-6, kepada gandingan nombor satu dunia, Mate Pavic-Nikola Mektic yang juga juara Olimpik dan Wimbledon dalam aksi penentuan.

Croatia, juara Piala Davis 2005 dan 2018, akan berdepan sama ada Russia atau Jerman dalam perlawanan akhir.

Djokovic sebelum itu berjaya mengalahkan Marin Cilic buat kali ke-18 untuk menghidupkan peluang Serbia.

Pemain nombor satu dunia itu, yang tidak pernah tumpas dalam aksi perseorangan kejohanan itu sejak 2011, mencatat kemenangan 6-4, 6-2.

"Aksi saya untuk musim ini berakhir dan saya tidak menyesal. Saya akan mengambil peluang beberapa hari selepas ini untuk berehat dan lupakan tenis seketika," kata Djokovic.

Bagaimanapun, Djokovic enggan membicarakan sama ada dia akan mempertahankan Terbuka Australia bulan depan tatkala penganjur hanya membenarkan pemain yang sudah mendapatkan vaksin sepenuhnya.

Pemain berusia 34 tahun itu enggan mendedahkan sama ada dia sudah mengambil vaksin Covid-19 atau tidak.

Dalam aksi pembukaan, Borna Gojo, yang menduduki ranking 279 dunia mengejutkan pemain ke-33 dunia, Dusan Lajovic, 4-6, 6-3, 6-2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 11:59 AM