ARTEM Dzyuba (tengah) ketika sesi latihan skuad Russia di Novogorsk menjelang pertemuan dengan Sepanyol di pusingan kalah mati, Ahad ini. FOTO AFP.
ARTEM Dzyuba (tengah) ketika sesi latihan skuad Russia di Novogorsk menjelang pertemuan dengan Sepanyol di pusingan kalah mati, Ahad ini. FOTO AFP.
AFP

MOSCOW: Perlawanan terakhir Russia bertemu Uruguay menyaksikan mereka kembali dilabelkan sebagai pasukan lemah dan aksi seterusnya bertemu Sepanyol kemungkinan besar akan menyebabkan mereka tersingkir awal.

Tuan rumah bakal turun pada perlawanan paling penting sejak tiga dekad apabila dijadual bertemu juara dunia 2010 itu pada pusingan kedua di Moscow, Ahad ini.

Mereka akan melakukan penampilan pertama di peringkat kalah mata selepas era Soviet sebagai pasukan bukan pilihan dengan Sepanyol tidak pernah tewas sejak dua tahun lalu.

Manakala Russia melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia tanpa mencatat sebarang kemenangan sejak lapan bulan lalu.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan Sepanyol mencatat kemenangan 3-0 pada separuh akhir Euro 2008.

“Kami mahu melakukan kejutan. Kami mahu memberikan hadiah paling bermakna kepada penyokong setia kami,” kata penyerang Russia, Artem Dzyuba.

Tuan rumah membelanjakan kira-kira AS$13 bilion (RM52.4 bilion) untuk memenuhi impian Presiden Russia, Vladimir Putin yang mahu menunjukkan bahawa mereka antara kuasa besar dunia dalam bola sepak.

Skuad kebangsaan yang pada awalnya tidak meyakinkan mempamer aksi memukau apabila membelasah Arab Saudi 5-0, pada aksi pembuka tirai sebelum menewaskan Mesir yang dibintangi Mohamed Salah 3-1.

Bagaimanapun, mereka kembali merekodkan kekalahan apabila tumbang 0-3 di tangan Uruguay pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang menentukan juara Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 10:30 AM