PUTIN (tengah) tidak  menghentam skuad Russia meskipun jika tewas kepada Sepanyol. FOTO/AFP
PUTIN (tengah) tidak menghentam skuad Russia meskipun jika tewas kepada Sepanyol. FOTO/AFP
AFP

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin memberitahu pengendali Russia, Stanislav Cherchesov tiada siapa yang akan menghentam mereka sekalipun jika tewas kepada Sepanyol pada aksi 16 terakhir Piala Dunia sebentar tadi - perlawanan yang kemudiannya dimenangi skuad yang terkenal dengan julukan Sbornaya itu.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, selepas Russia menyingkirkan juara 2010 itu menerusi penentuan penalti di Stadium Luzhniki, Putin yang menonton perlawanan itu di televisyen tidak meletakkan sebarang tekanan ke atas pasukan kebangsaannya.

“Sebelum perlawanan, sekitar tengah hari tadi, presiden ada menghubungi jurulatih dan mengucap selamat maju jaya kepadanya,” menurut agensi berita Russia yang memetik Peskov sebagai berkata.

“Beliau berkata di bawah kendalian Cherchesov, pemain sudah mencapai sesuatu yang mustahil dengan melepasi aksi peringkat kumpulan,” kata Peskov.

“Putin turut menegaskan sebarang keputusan daripada perlawanan itu tidak akan mengundang sebarang kritikan.”

Putin muncul antara individu penting dalam menjayakan kejohanan terulung dunia itu selepas turut membantu mendapatkan hak tuan rumah buat Russia.

Mereka kemudiannya berbelanja sekitar AS$13 bilion (RM52 bilion) ke atas 11 bandar raya yang menganjurkannya kali pertama sejak kejatuhan Soviet Union.

Russia seterusnya akan berdepan pemenang perlawanan antara Croatia dan Denmark.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 4:10 AM