DZAGOEV kembali berlatih bersama pasukan Russia. FOTO/AFP
DZAGOEV kembali berlatih bersama pasukan Russia. FOTO/AFP
Reuters

KHIMKI, Russia: Pemain tengah Russia, Alan Dzagoev pulih daripada kecederaan dan cergas untuk aksi suku akhir Piala Dunia bertemu Croatia awal pagi Ahad ini, waktu Malaysa dalam misi tuan rumah memburu tiket separuh akhir buat pertama kali selepas setengah abad.

Dzagoev tidak diturunkan sejak terpaksa keluar padang hanya selepas 23 minit akibat kecederaan hamstring pada perlawanan pembukaan menentang Arab Saudi bulan lalu.

Pemain 28 tahun itu tersenarai dalam skuad menentang Sepanyol dalam kelompok 16 terakhir minggu lalu, tetapi sekadar memanaskan bangku simpanan ketika pasukannya menyingkirkan juara edisi 2010 itu menerusi sepakan penalti.

“Ia kecederaan belakang yang lama. Hari ini saya berlatih dalam kumpulan utama. Semuanya baik. Saya bersedia untuk perlawanan,” kata Dzagoev turut terlepas sesi latihan pada Rabu akibat kecederaan otot belakang.

Russia tidak pernah mara hingga ke suku akhir Piala Dunia sejak perpecahan Kesatuan Soviet, yang pernah layak hingga ke separuh akhir pada tahun 1966.

Tetapi pasukan tuan rumah setakat ini melangkaui jangkaan ke atas mereka, melepasi peringkat kumpulan dengan kemenangan ke atas Arab Saudi dan Mesir serta tewas kepada Uruguay, sebelum menyingkirkan Sepanyol di kelompok 16 terakhir.

“Seperti yang dikatakan, selera datang apabila anda makan. Kenapa tidak?” kata Dazgoev berkenaan peluang pasukannya ke atas pasukan pilihan, Croatia di peringkat suku akhir nanti.

“Kami beraksi baik menentang Arab Saudi dan Mesir serta Sepanyol. Mungkin tidak beraksi pada prestasi sebenar menentang Uruguay tetapi saya harap kami bangkit menentang Croatia.”

Pemenang pertembungan itu akan bertemu sama ada England atau Sweden, yang beraksi pada Sabtu untuk menempah tempat ke separuh akhir di Stadium Luzhniki, Moscow minggu depan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 12:28 AM