PEMAIN Uruguay meraikan kemenangan ke atas Russia. -Foto EPA
PEMAIN Uruguay meraikan kemenangan ke atas Russia. -Foto EPA
AFP

MOSCOW: Russia perlu menerima hakikat bahawa mereka tewas 0-3 kepada Uruguay pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan ketika Portugal dan juara 2010, Sepanyol dilihat tidak berdepan masalah untuk menempah tiket ke kelompok 16 terbaik.

Tuan rumah mencipta kegembiraan di dua perlawanan awal dengan menewaskan Arab Saudi dan Mesir biarpun pada mulanya tidak diletakkan sebarang harapan, namun mereka gagal meneruskan rentak kemenangan itu ketika turun bertemu pasukan dari Amerika Selatan itu.

Sepakan percuma dari bintang Barcelona Luis Suarez, gol sendiri Denis Cheryshev dan jaringan lewat perlawanan disempurnakan Edinson Cavani mengesahkan Uruguay selaku peneraju Kumpulan A dengan Russia turut mara ke pusingan kalah mati selepas menduduki tempat kedua.

Russia yang akan bertemu juara Kumpulan B tidak dapat menggunakan khidmat Igor Smolnikov yang dilayangkan kad merah 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama di Samara ketika ketinggalan 2-0.

“Sudah tentu beberapa perlawanan pertama akan menyebabkan anda tegang dan tidak mahu melakukan kesalahan,” kata pemain terbaik perlawanan, Suarez.

“Satu kesilapan boleh menjadi sangat mahal. Hari ini kami masuk ke padang dengan sikap dan perspektif berbeza dan ia akan menjadikan permainan lebih baik. Itulah yang kami lihat di atas padang.”

Jurulatih Russia, Stanislav Cherchesov mengakui kecewa dan berkata, adalah baik tewas sekarang berbanding perlawanan seterusnya nanti.

Beliau turut mengenal pasti bahawa pemainnya dilihat gementar di babak awal namun secara psikologinya mereka sudah bersedia menempuh pusingan kalah mati.

“Hasilnya sangat mudah. Kami lakukan apa yang perlu kami lakukan.

“Tapi anda tidak boleh memulakan permainan di tahap ini dengan melakukan kesilapan seperti itu - membuka peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 2:58 AM