DZYUBA harap dapat sokongan peminat pada aksi kalah mati. FOTO/AFP
DZYUBA harap dapat sokongan peminat pada aksi kalah mati. FOTO/AFP
AFP

MOSCOW: Russia bermula cemerlang di pentas Piala Dunia kali ini tetapi pertemuan terakhir dengan Uruguay memberi gambaran sebenar kedudukan mereka dalam kelompok terbaik dunia. Perlawanan seterusnya berjumpa Sepanyol menawarkan peluang untuk tuan rumah kembali berada di awangan.

Russia akan berdepan perlawanan penting dalam tempoh tiga dekad apabila mereka bertemu juara edisi 2010 di Moscow esok dalam aksi 16 terakhir.

Ia adalah penampilan pertama Russia di peringkat kalah mati sejak era Soviet. Mereka akan turun sebagai pasukan bukan pilihan berhadapan Sepanyol yang mempunyai rekod yang tidak perlu dipertikaikan apabila tidak pernah tewas dalam tempoh dua tahun.

Manakala Russia pula hadir ke kejohanan ini tanpa memenangi sebarang perlawanan dalam lapan bulan.

Perlawanan kompetitif antara dua pasukan itu menyaksikan Sepanyol mudah membenam Russia 3-0 di separuh akhir Euro 2008.

“Kami mahu melakukan sedikit keajaiban,” kata penyerang Russia Artem Dzyuba. “Kami mahu pamerkan aksi terbaik kepada penyokong kami.”

Russia memulakan kempen dengan kemenangan 5-0 ke atas Arab Saudi di Stadium Luzhniki, kemudian disusuli dengan kemenangan 3-1 ke atas Mesir yang diterajui Mohamed Salah, walaupun hakikatnya Salah tidak berada pada prestasi terbaiknya.

Kekalahan 3-0 di tangan Uruguay pada perlawanan terakhir kumpulan meletakkan Russia di kedudukan sepatutnya dan esok, peluang untuk mencatat sejarah kembali terhidang apabila bertemu Sepanyol.

Kali terakhir Kesatuan Soviet mara ke kelompok 16 terakhir ialah pada tahun 1986 di Mexico sebelum tewas 4-3 kepada Belgium dalam masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 9:19 PM