AKIRA NISHINO
AKIRA NISHINO
AFP

VOLGOGRAD: Pengendali Jepun, Akira Nishino menjelaskan beliau terpaksa memaksa pemainnya agar tidak melakukan serangan menuju penghujung perlawanan menentang Poland untuk memastikan kemaraan ke pusingan kedua Piala Dunia.

Jepun ketinggalan 1-0 ketika saingan berbaki 10 minit, namun dengan Colombia mendahului Senegal dengan jumlah jaringan yang sama dalam aksi serentak Kumpulan H memberi kelebihan kepada Jepun layak menerusi peraturan ‘fair play’ mengiringi pasukan Amerika Selatan itu.

Walaupun diejek penonton, pemain Jepun dan Poland memperlahankan permainan ketika berbaki 10 minit.

“Ia keputusan yang sukar,” jelasnya. “Terdapat andaian ‘jika’ memihak kami dan ‘jika’ memihak perlawanan satu lagi.

“Saya memilih untuk memastikan kami mengekalkan status quo dalam permainan dan bergantung kepada keputusan lain. “Pemain menuruti dan mengikut keputusan saya. Ia adalah sukar kerana falsafah saya adalah bermain secara menyerang.

“Situasi berkenaan memaksa saya membuat keputusan.”

Jepun menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan terikat mata serta perbezaan gol yang sama dengan Senegal namun dengan kekurangan dua kad kuning, Samurai Biru menanti pemenang England atau Belgium dalam pusingan kedua.

Jepun melenyapkan kebimbangan di Russia selepas memecat jurulatih Vahid Halilhodzic ketika kejohanan berbaki dua bulan dan melantik pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Nishino.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 2:49 AM