PEMAIN Jepun memberi tepukan kepada penyokong mereka selepas berakhir aksi Kumpulan H, kelmarin. FOTO Reuters
PEMAIN Jepun memberi tepukan kepada penyokong mereka selepas berakhir aksi Kumpulan H, kelmarin. FOTO Reuters
Reuters

SAMARA, Russia: Percaturan Jepun sentiasa membawa manfaat kepada pasukan itu.

Mereka melakukan percaturan berisiko apabila menggantikan jurulatih mereka dua bulan sebelum Piala Dunia bermula selain perubahan yang dilakukan dalam kesebelasan utama bertemu Poland semalam.

Mereka juga mengambil risiko apabila tewas 0-1 di tangan Poland dan perlu mengharapkan Senegal tidak merampas slot mereka ke pusingan 16 terakhir.

Namun pendekatan yang diambil itu nyata berbaloi apabila skuad Samurai Blue berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati dengan mengetepikan Senegal berdasarkan peraturan ‘fair play.’

Sebelum aksi terakhir itu, jurulatih Akira Nishino melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama termasuk merehatkan pemain tengah berpengaruh, Shinji Kagawa.

Ketinggalan satu gol, Jepun sekadar membuang masa apabila melakukan hantaran sesama mereka dalam lima minit terakhir perlawanan meskipun sedar jaringan penyamaan Senegal ke atas Colombia akan menyingkirkan mereka daripada Piala Dunia.

Strategi berisiko tinggi itu berkesan namun Nishino tidak dapat menyembunyikan perasaan malunya.

“Kami tidak menyasarkan kemenangan namun hanya bergantung kepada keputusan satu perlawanan lagi.

“Mungkin agak dikesali namun ketika itu, saya tiada perancangan lain.

“Saya tidak gembira dengan cara kami beraksi hari ini (semalam) namun kami mahu mara ke pusingan seterusnya dan hanya ini saja caranya.”

Nishino nyata mendapat sokongan pemainnya selepas pendekatan itu membuahkan hasil.

“Keputusan lebih penting berbanding segala-galanya,” kata pemain tengah veteran, Keisuke Honda.

“Ia satu pendekatan bijak. Mungkin saya tidak dapat lakukannya sekiranya saya menjadi jurulatih.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 11:37 PM